PH Komplot Dengan Media Asing Guling Kerajaan?

Jangan biarkan pembangkang memperkotak-katikkan pemikiran kita

USAHA untuk hina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di luar negara makin giat dibuat. Setiap minggu pasti ada sahaja media asing silih berganti melakukan kempen buruk jahat mereka.

Mungkin inilah hasil dana AS$5 juta yang pernah diceritakan oleh bekas Exco Armada PPBM dulu. Wang yang dikatakan disalur menerusi Yayasan Clinton untuk jalankan kerja propaganda Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Tidak ketinggalan untuk jentera maya Pakatan Harapan (PH) bagi mengulingkan kerajaaan Barisan Nasional (BN) diterajui UMNO yang sedia ada di Putrajaya sejak negara capai kemerdekaan daripada penjajahan British pada 1957.

Jika dulu hanya akhbar Wall Street Journal dan New York Times berpusat di Amerika Syarikat (AS), kini ia beralih kepada lebih banyak media asing dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjadi isu utama dimainkan.

Secara tiba-tiba media luar negara yang diketahui pro-Zionis menjadi begitu berminat dengan isu 1MDB walaupun siasatan sudah dijalankan dan mendapati bahawa Perdana Menteri tidak terlibat dengan kes salah guna kuasa itu.

Malahan pernah Pejabat Peguam Negara Switzerland sendiri pada Februari 2017 lalu menjelaskan bahawa Najib lansung tidak terlibat dalam siasatan agensi perundangan berkenaan terhadap kemelut 1MDB di negara itu.

Jurucakapnya, Andre Marty berkata, Perdana Menteri Malaysia itu juga bukan antara suspek yang dituduh konon ada melakukan kesalahan komersial dalam siasatan kes tersebut. Berita gembira ini ternyata tidak disukai PH.

Jadi kenapa 1MDB pula kini menjadi sasaran? Jawapannya mudah kerana ia boleh menjadi ‘senjata’ yang digunakan oleh pakatan pembangkang untuk memburukkan Najib tanpa perlu ada bukti atau fakta kukuh untuk ditularkan.

Walaupun ada isu lebih besar iaitu kehilangan RM31.5 bilion oleh Bank Negara Malaysia (BNM) akibat urus niaga matawang asing (Forex) semasa zaman pemerintahan Mahathir Mohamad, namun PH memilih untuk membisu.

Ia tiba-tiba berlaku selepas bekas pemimpin negara yang pernah dikutuk mereka sebagai diktator maha zalim Firaun itu kemudian menjadi sekutu PH sehingga dipilih sebagai Pengerusi dan bakal calon perdana menteri.

Begitulah mudah dan hipokritnya pembangkang walhal dulu mereka paling lantang bersuara terhadap kehilangan wang BNM yang terbesar dalam sejarah dunia itu sehingga mendesak ditubuhkan suruhanjaya siasatan diraja.

Kini dengan bermodalkan isu 1MDB, menghairankan apabila tiba-tiba majalah Tempo, The Economist dan akhbar The Australian serta portal Sarawak Report terus berminat dengan sayap pelaburan strategik kerajaan Malaysia itu.

semua ini adalah semata-mata untuk memburukkan Perdana Menteri. Kenapa pembangkang menggesa Swiss Bank memulangkan dana sebanyak RM430 juta itu sedangkan duit 1MDB tiada yang pun hilang?

Begitu juga majalah Tempo yang menyiarkan karikatur seperti ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau dikenali Jho Low sedang memancing dan di bawah kapal mewah itu ada penyelam sedang melihat sebuah peti besi gergasi.

Padahal portal Indonesia, JawaPos.com melaporkan penafian pihak berkuasa mengenai penemuan wang RM1 bilion dalam kapal didakwa milik Jho Low. Gambar duit itu sebenarnya adalah props digunakan untuk filem EVO 2.

Begitu juga dengan The Economist yang menjadikan 1MDB sebagai isu dan menghina pengundi kononnya mereka tidak mempedulikan isu berkenaan. The Economist juga secara biadap menggunakan perkataan pencuri.

Dalam kes anak Perdana Menteri Australia, iaitu Alex Turnbull pula, The Australian melaporkan bahawa Alex diketepikan dari kedudukan eksekutifnya di Goldman Sachs di Singapura selepas mendedahkan apa yang berlaku di sebalik perjanjian mencurigakan membabitkan 1MDB.

Laporan itu disiarkan ketika Australia bakal menjadi tuan rumah untuk pertama kalinya bagi penganjuran sidang kemuncak ASEAN-Australia pada 17 dan 18 Mac ini, di mana Perdana Menteri dijadual menghadirinya.

Semua ini mempunyai agenda tersendiri. Apabila media dalam negara sudah tidak berkesan untuk memburukkan Najib, maka media antarabangsa dijadikan sebagai sandaran.

Bukan itu sahaja, Sarawak Report juga masih menjadi bahan kempen utama dalam usaha menyingkirkan Najib melalui jalan tidak demokratik.

Selain media asing, Mahathir yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) pada Januari lalu telah mengetuai pertemuan dengan 16 duta dari negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

Tindakan terdesak itu dilakukan kononnya mahu memberikan tekanan Perdana Menteri supaya melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) secara bersih dan adil tanpa sebarang penipuan.

Campur tangan asing ini hanya mengundang petaka. Mana-mana negara berdaulat sudah pasti menolak campur tangan asing ini tapi malangnya di Malaysia, ada pihak yang sangat suka dengan negara asing malah mereka mengundang negara asing itu untuk mencampuri urusan dalaman negara.

Jangan biarkan pembangkang memperkotak-katikkan pemikiran kita justeru eloklah ditolak sahaja mereka ini pada pilihan raya umum nanti. Pembangkang di Malaysia ini sanggup berpakat dengan orang asing demi merampas kuasa di Putrajaya.-MYNEWSHUB

Kategori
Nasional