Nilai tiga serangkai teras penjawat awam – PM

Walak bererti nilai seperti cinta kasih, kepatuhan, sumpah setia, memberi taat dan bai'ah yang wajib diberikan kepada seseorang pemimpin yang sah

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak menegaskan prinsip nilai tiga serangkai iaitu walak, wasatiyyah dan tabayyun perlu dijadikan teras oleh penjawat awam dalam melaksanakan tugas.

Perdana Menteri berkata, prinsip itu juga bagi mentransformasikan perkhidmatan awam yang inklusif, cekap, berbudaya murni lagi inovatif.

“Walak bererti nilai seperti cinta kasih, kepatuhan, sumpah setia, memberi taat dan bai’ah yang wajib diberikan kepada seseorang pemimpin yang sah.

“Sebab itu kita wajib berwalak kepada pemimpin dengan memberi sepenuh ketaatan, selagi mana ruang litup kepemimpinan itu masih kekal berada dalam parameter maslahah umum dan tidak wujudnya unsur kezaliman.

“Apatah lagi kerajaan masa kini sudah melakukan segala usaha dan inisiatif dalam menjaga kebajikan dan mendahulukan kepentingan rakyat terbanyak seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), projek perumahan rakyat, rumah mampu milik, Klinik 1Malaysia, pengangkutan awam dan subsidi secara langsung mahupun tidak langsung.

“Pada konteks ini, ulama berpendapat, dalam situasi Malaysia hari ini, walak adalah sampai ke tahap wajib, diberikan kepada kerajaan, apatah lagi kerajaan masa kini dipilih secara sah oleh rakyat melalui sistem demokrasi berparlimen,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) dengan tema ‘Demi Negaraku Malaysia’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; barisan Jemaah Menteri; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa; dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman.

Kategori
BeritaNasional