Mesyuarat Khas SPR dalam tempoh 10 hari – Mohd Hashim

Tarikh-tarikh penting berkaitan dengan PRU14 akan ditetapkan dalam mesyuarat tersebut

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas dalam tempoh 10 hari selepas menerima notis daripada Dewan Rakyat.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, mesyuarat itu akan menetapkan tarikh pengeluaran writ, penamaan calon, undi awal serta tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Bila kita menerima notis daripada speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mengatakan berlaku pembubaran Dewan Rakyat, baru kita mengadakan Mesyuarat Khas SPR dalam tempoh 10 hari daripada notis tersebut.

“Tarikh-tarikh penting berkaitan dengan PRU14 akan ditetapkan dalam mesyuarat tersebut,” katanya menerusi pesanan ringkas kepada Astro AWANI.

Kelazimannya, Mohd Hashim akan mempengerusikan mesyuarat khas tersebut bersama enam lagi ahli disusuli dengan sidang media khas SPR.

Sementara itu, sumber Parlimen Malaysia memaklumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia masih menunggu proklamasi daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Satu kenyataan media akan dikeluarkan Pandikar Amin dalam tempoh terdekat berhubung pembubaran Parlimen.

Kategori
BeritaNasional