Mekanik terkejut temui mayat bayi di belakang rumah

“Saya pada waktu itu hendak ke tandas. Mula-mula ingat anak patung (bila nampak mayat bayi) saya tidak jadi buang air dan terus membuat laporan,”

KOTA BHARU: Seorang mekanik tidak menyangka objek yang disangka anak patung rupanya bayi perempuan cukup sifat yang dibuang di sebuah parit di Kampung Atas Pengget, Dewan Beta, di sini hari ini.

Mayat bayi malang itu yang cukup sifat ditemui di belakang sebuah rumah milik Mat Jusoh Awang, 54 tahun kira-kira pukul 1 petang tadi.

Malah kejadian itu juga disedari Mat Jusoh ketika hendak ke tandas yang terletak di belakang rumahnya.

Ketika ditemui bayi malang itu berada di dalam parit dengan separuh badannya berada dalam air parit berkenaan.

“Saya pada waktu itu hendak ke tandas. Mula-mula ingat anak patung (bila nampak mayat bayi) saya tidak jadi buang air dan terus membuat laporan,” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Mayat bayi malang itu kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan mengesahkan penemuan mayat bayi itu dan pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian serta suspek terlibat.

Kategori
Nasional