KPM Sambut Baik Cadangan Bina Sekolah Tahfiz Tawar Peluang Akademik

"Kerajaan bina sekolah tahfiz ini bagi membantu pelajar untuk mendapatkan akademik kerana kalau tidak mereka habis sekolah nanti tak tahu hendak ke mana sebab tidak ada akademik,"

PADANG TERAP, 18 Feb (Bernama) — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyambut baik cadangan kerajaan untuk membina sekolah tahfiz baharu yang mampu menawarkan peluang akademik serta kemahiran kepada pelajar-pelajar tahfiz.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sekolah tahfiz sekarang lebih memfokuskan kepada hafazan dan ia akan menyukarkan pelajar yang tidak mempunyai kelayakan akademik untuk mendapatkan pekerjaan pada masa hadapan.

“Pelajar-pelajar ini belajar di sekolah tahfiz kerana ingin jadi hafiz tetapi nanti mereka akan ada masalah untuk mendapatkan pekerjaan pada masa hadapan kerana tidak memiliki sijil akademik.”

“Kerajaan bina sekolah tahfiz ini bagi membantu pelajar untuk mendapatkan akademik kerana kalau tidak mereka habis sekolah nanti tak tahu hendak ke mana sebab tidak ada akademik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa peringkat tertinggi mengenai sekolah-sekolah tahfiz, berkata kerajaan bersetuju untuk membina sekolah berkenaan yang dicadangkan di Bagan Datuk, Perak.

Mahdzir berkata buat masa kini sekolah tahfiz terbabit masih belum diputuskan untuk diletakkan di bawah kementerian mana, namun di pihak KPM, tiada masalah untuk melaksanakannya selain mempunyai bekalan guru yang cukup.

Kategori
Nasional