Kerajaan Pas Kelantan lembab dalam isu tuntutan royalti petroleum – Husam

Beliau berkata, perkara tersebut pernah dibangkitkannya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebelum ini.

BACHOK: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa Musa berpandangan kerajaan Pas Kelantan lembab dalam usaha menuntut royalti petroleum dari kawasan Malaysia-Thailand Joint Development Area (MTJDA).

Bekas Exco Kanan Kerajaan Pas Kelantan suatu ketika itu berkata, sepatutnya kerajaan negeri sudah pun menubuhkan perbadanan petroleum sendiri kerana di bawah Perlembagaan Persekutuan lesen aktiviti petroleum adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Beliau berkata, perkara tersebut pernah dibangkitkannya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebelum ini.

“Tetapi kerajaan Kelantan lembab dalam perkara ini, sehingga tak pernah mempraktikkan perkara ini, walaupun tuntutan melalui mahkamah tidak berjaya dan kalau PH berjaya rampas Kelantan dari Pas kita akan tubuhkan Perbadanan Petroleum,” katanya selepas menghadiri ceramah Jelajah PH di Bachok malam tadi yang dihadiri Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pimpinan PH yang lain.

Katanya beliau semasa menjadi exco kerajaan negeri pernah mengadakan pertemuan dengan bekas Ketua Menteri Sarawak, Tun Taib Mahmud bagi membincangkan perkara tersebut dan hasilnya Sarawak memperolehi hak ke atas pengeluaran petroleum yang diturunkan kuasa oleh kerajaan Persekutuan baru baru ini.

Husam yang juga ADUN Salor berkata, kerajaan Kelantan tidak mempunyai individu dalam pentadbirannya yang pakar dalan usaha menuntut royalti, menubuhkan jawatankuasa dan sebagainya pada masa ini.

“Kerajaan Kelantan tidak mempunyai tokoh dan orang yang pakar dalam hal ini dan semasa saya membangkitkan isu ini rakan-rakannya dalam exco turut menyindirnya dengan mempersoalkan sama ada Kelantan layak atau tidak mendapat royalti minyak,” tambahnya.

Husam merupakan exco dan pimpinan Pas Kelantan yang mula mula membangkitkan isu tuntutan royalti petroleum sebanyak lima peratus dari Petronas pada tahun 2008 berdasarkan terma perjanjian pada tahun 1975.

Kenyataan Husam itu senada dengan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang turut mendakwa kerajaan Kelantan tidak serius dalam menuntut hasil petroleum.

Kategori
BeritaNasional