Kerajaan ‘dera’ 7 juta rakyat bila umum kurangkan BR1M – Pemuda UMNO Kelantan

Semua rakyat yang berpendapatan bawah RM3,000 dapat merasai limpahan kemakmuran negara melalui BR1M selain kemudahan prasarana disediakan oleh kerajaan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) seolah-olah ‘mendera’ lebih tujuh juta penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) apabila mengumumkan langkah pengurangan bantuan itu sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, ia seolah-olah langkah tidak masuk akal apabila meminta rakyat berdikari tanpa menyalurkan sebarang bantuan.

“BR1M merupakan subsidi bersasar yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini bagi menggantikan sistem subsidi pukal.

“Semua rakyat yang berpendapatan bawah RM3,000 dapat merasai limpahan kemakmuran negara melalui BR1M selain kemudahan prasarana disediakan oleh kerajaan.

“Ia juga sekali gus medium merancakkan ekonomi setempat dengan aliran tunai yang wujud hasil sumbangan kerajaan. Pengurangan dan memansuhkannya kelak merupakan keputusan tidak praktikal untuk perkembangan ekonomi negara pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Beliau mengulas laporan media berhubung keputusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengurangkan pemberian jumlah BR1M sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan.

Dalam pada itu, Noor Hariri menegaskan, pihaknya mendesak kerajaan supaya membuat kajian terperinci sebelum sebarang keputusan melibatkan kebajikan rakyat dibuat.

Beliau turut mempertikaikan keputusan yang seolah-olah menafikan kebaikan kepada rakyat yang dibuat kerajaan sebelum ini.

“Tidak salah meneruskan perkara baik yang telah dibuat oleh kerajaan BN sebelum ini demi kebaikan rakyat,” jelasnya.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PH Nik Nazmi Nik Ahmad mengingatkan kerajaan untuk tidak membuat kesilapan dalam hal membabitkan pemberian Bantuan Sara Hidup (BSH) atau sebelum ini dikenali sebagai BR1M.

Tegasnya, sebarang keputusan perlu dibuat melalui persetujuan gabungan semua parti komponen dalam PH dan kabinet kerajaan susulan manifesto parti telah menjanjikan bahawa BR1M akan dikekalkan untuk golongan B40 (mereka berpendapatan bawah RM3,000 sebulan).

Kira-kira 7.2 juta isi rumah dan individu bujang yang berkelayakan dilapor menerima BR1M sebelum ini.

Kategori
Nasional