‘Kementerian akan siasat dakwaan harga tinggi’ – Chieng Jen

Apa yang kita tidak mahu ialah beberapa pengusaha restoran makanan mendakwa terdapat pemborong mengekalkan harga barangan walaupun sifar GST

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat pemborong yang mengekalkan harga barangan walaupun kerajaan telah menetapkan kadar sifat pada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) 1 Jun lalu.

Timbalan Menterinya, Chong Chieng Jen berkata, pihaknya memberi jaminan akan menyiasat dan mengheret pemborong yang didapati melanggar Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 itu.

“Pegawai penguat kuasa kementerian akan turun padang membuat pemeriksaan jika ada barang dijual pada harga tidak masuk akal,” katanya ketika lawatan ke Pasar Komuniti Stutong hari ini.

Jelasnya, kementerian juga memahami keadaan peniaga yang mahukan keuntungan tetapi bukan dengan cara tidak munasabah.

“Apa yang kita tidak mahu ialah beberapa pengusaha restoran makanan mendakwa terdapat pemborong mengekalkan harga barangan walaupun sifar GST.

“Ini akan merugikan pengusaha restoran sekiranya mereka bertindakan menurunkan harga makanan,” katanya.

Ketika tinjauan di Pasar Komuniti Stutong hari ini, beliau mendapati harga barangan stabil dan mematahui arahan kerajaan.

Turut serta dalam lawatan berkenaan ialah Pengarah KPDNHEP Sarawak, Datuk Stanley Tan dan timbalannya, Md. Nawawi Ab. Rahman.

Kategori
Nasional