Keluarga Adelina Terima Pampasan, Tunggakan Gaji Berjumlah RM63,900

Keluarga amah Indonesia yang mati didakwa akibat didera, Adelina Lisao, menerima pampasan dan tunggakan gaji berjumlah RM63,900, kata Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Zahrain Mohamed Hashim.

JAKARTA: Keluarga amah Indonesia yang mati didakwa akibat didera, Adelina Lisao, menerima pampasan dan tunggakan gaji berjumlah RM63,900, kata Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Zahrain Mohamed Hashim.

Menurut Zahrain, bayaran itu meliputi tunggakan gaji dari Januari 2015 hingga Februari 2018, berjumlah RM35,900 dan selebihnya pampasan untuk keluarganya termasuk kos penghantaran jenazah dan pengebumian.

“Bayaran itu dibuat pada 13 Februari lepas kepada Konsulat Jeneral Indonesia di Pulau Pinang,” kata Zahrain kepada pemberita di sini, semalam.

Media Indonesia sebelum ini melaporkan keluarga wanita itu mahukan pampasan serta tunggakan gaji selama tiga tahun yang tidak dibayar majikannya.

“Kes kematian Adelina adalah satu kejadian yang amat menyayat hati, saya berasa kesal kerana ia berlaku di Malaysia,” kata Zahrain.

Pada 10 Februari lepas, Adelina, 28, ditemui dalam keadaan tidak bermaya dengan kesan lebam di kepala, tangan dan kaki akibat didera di sebuah rumah di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Adelina meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Bukit Mertajam.

Jenazahnya dihantar dan selamat dikebumikan di provinsi Nusa Tenggara Timur pada 19 Februari.

Bercakap kepada media yang dihadiri ramai wartawan Indonesia semalam, Zahrain berkata Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mereka yang didapati bersalah dalam kes berkenaan.

Kategori
Nasional