Jemaah haji Malaysia terima sambutan ‘VIP’

Jemaah Malaysia tidak perlu menunggu dan beratur panjang untuk menyelesaikan urusan dokumentasi seperti cop visa, kastam dan pemeriksaan kesihatan.
SEPANG: Penerbangan pertama membawa jemaah Malaysia bagi musim haji 2018 yang membabitkan 483 orang jemaah, selamat tiba di Madinah kira-kira jam 3.30 petang tadi.

Hal itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof, yang turut memberitahu, kesemua urusan jemaah di sana setakat ini berjalan lancar.

Istimewanya tahun ini, Malaysia menjadi satu-satunya negara yang mendapat kerjasama kerajaan Arab Saudi untuk melaksanakan proses pre-clearance yang bertujuan memudahkan semua urusan jemaah setibanya di Madinah.

“Jemaah Malaysia tidak perlu menunggu dan beratur panjang untuk menyelesaikan urusan dokumentasi seperti cop visa, kastam dan pemeriksaan kesihatan.

“Ini kerana semuanya sudah dilakukan di KLIA, dan apabila jemaah kita tiba di sana, mereka boleh terus menaiki bas ke hotel, malah bagasi mereka juga diuruskan pihak di sana,” kata Dr. Mujahid.

Beliau berkata demikian pada majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah Malaysia di Kompleks TH di Sepang, pada Sabtu.

Kompleks itu buat kali pertamanya digunakan, menggantikan kompleks sedia ada di Kelana Jaya.

Pemerhatian Astro AWANI mendapati urusan di kompleks itu berjalan lancar dan teratur, dengan fasiliti yang nyata lebih luas dan selesa.

Penerbangan kedua berlepas jam 9.15 malam ini membabitkan 490 jemaah, dan dijadualkan tiba di Madinah, jam 5.30 pagi esok waktu Malaysia.

Seramai 30,200 orang jemaah dari Malaysia akan mengerjakan haji tahun ini, berlepas bermula hari ini sehingga 14 Ogos, menerusi 81 penerbangan carter dari KLIA ke Madinah.

Kategori
Nasional