Jangan pinggirkan kumpulan LGBT dari Islam – Fuziah

Pendirian kami ialah yang haram tetap haram dan tidak ada kompromi dalam hal itu. Tetapi isunya adalah di mana kita harus bermula dalam mengendalikan isu ini.

KUALA LUMPUR: “Yang haram itu, tetap haram” tetapi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) perlu ditangani dengan penuh ihsan dan hormat, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Beliau berkata cara terbaik menangani isu itu ialah dengan tidak meminggirkan kumpulan itu dan tidak menjauhkan mereka dari Islam.

“Pendirian kami ialah yang haram tetap haram dan tidak ada kompromi dalam hal itu. Tetapi isunya adalah di mana kita harus bermula dalam mengendalikan isu ini.

“Misalnya, isu LGBT, Islam tidak membenarkan ajaran di luar dari Al-Quran,” kata beliau.

Fuziah menyatakan demikian semasa sesi soal jawab di Persidangan Undang-undang Malaysia Antarabangsa (IMLC) 2018, dengan tema ‘Raising The Bar By Preserving and Furthering the Rule of Law’, di sini hari ini.

Beliau berkata jika kita meminggirkan kumpulan itu, seperti yang berlaku sebelum ini, bagaimana mereka dapat hidup dengan bermaruah kerana kita tidak terima mereka di tempat kerja dan menghalang mereka di tempat-tempat awam serta melihat mereka sebagai kotor.

“Pendekatan boleh berbeza dan tidak meminggirkan mereka. Malahan dalam pertemuan dengan Nisha Ayub (aktivis transgender), beliau bercakap dengan kami tentang apa yang telah beliau lakukan – menemui transgender dari kalangan pekerja seks, dan mengenai pekerjaan untuk mereka.

“Kita juga bincangkan bagaimana kita boleh bekerjasama dengan agensi-agensi lain dengan menyediakan mereka kemahiran dan peluang yang wajar di tempat kerja.

“Kami bincang tentang cara mendekatkan mereka kepada Islam… Kami tawarkan pekerjaan dan perbincangan kepada mereka tetapi itu semua tidak dilaporkan oleh media. Kerana itu orang ramai salah faham tentang pendekatan kami,” kata timbalan menteri itu semasa sesi pleno berjudul “100 days: Scorecard on GE14 Promises”.

Persidangan empat hari itu bertujuan memperkasa golongan peguam secara holistik dalam mendepani cabaran modern bagi menginternalizasi perkhidmatan guaman agar mereka bersiap sedia untuk merebut peluang-peluang yang muncul.

Antara yang hadir di persidangan itu ialah Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum, Peguam Negara Tommy Thomas dan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim.

— BERNAMA

Kategori
Nasional