Jangan nilai pelantikan Ketua Hakim Negara dari segi bangsa dan agama – Shafie Apdal

Bagi saya, apa yang lebih penting ialah pelantikan ini adalah bedasarkan merit dan bedasarkan kepada seseorang yang lebih senior.
KOTA KINABALU: Rakyat Malaysia di negara ini disarankan tidak menilai pelantikan terbaharu Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum dari segi bangsa dan agamanya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata rakyat tidak perlu menjadikan isu agama dan bangsa sebagai alasan untuk menolak pelantikan ini.

Tambah Mohd Shafie, rakyat Malaysia haruslah menilai pelantikan Richard dalam bidang kehakiman bedasarkan aspek senioriti dalam bidang perundangan yang wajar diberi keutamaan.

“Jangan menilai pelantikan ini dari segi bangsa dan agamanya. Apa yang lebih penting adalah prestasinya dalam bidang kehakiman.

“Bagi saya, apa yang lebih penting ialah pelantikan ini adalah bedasarkan merit dan bedasarkan kepada seseorang yang lebih senior.

“Saya yakin seseorang itu mampu memberikan sumbangan kepada negara bukan oleh kerana bangsanya, bukan oleh kerana agamanya bahkan kerana kecintaan dia terhadap negara, itu yang lebih mustahak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas yang diadakan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shafie menyambut baik pelantikan Tan Sri Richard Malanjum sebagai tonggak utama badan kehakiman terbaharu di negara ini.

Menurut Shafie, beliau amat menghargai ketetapan yang dibuat Kerajaan Persekutuan dalam menghargai individu yang berpengalaman luas dari negeri ini.

“Semuanya maklum dan tahu bahawa beliau (Tan Sri Richard Malanjum) merupakan seorang yang berdedikasi dalam bidangnya.

“Saya yakin rakyat Malaysia yang berada bukan hanya diperingkat negeri Sabah malahan juga dinegeri Sarawak amat menghargai ketetapan dan juga keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Raja-Raja dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.

“Ini merupakan satu penghargaan kepada seorang rakyat Malaysia buat pertama kalinya dalam sejarah Ketua Hakim Negara datangnya dari wilayah ini,” katanya.

Kategori
Nasional