Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender serta Agama selain Islam negeri, Chong Eng berkata, ibu-bapa seharusnya menjaga kepentingan anak mereka.

Katanya, perkahwinan pada usia yang terlalu muda tidak akan berjaya dan mungkin berakhir dengan penceraian.

“Pendekatan berkenaan bahaya kerana mereka masih muda, seharusnya berkahwin selepas berusia 18 tahun,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Isu perkahwinan bawah umur kembali tercetus dalam sidang DUN apabila Daniel Gooi Zi Sen (DAP – Pengkalan Kota) meminta penjelasan Nor Hafizah Othman (BN-Permatang Berangan) berhubung kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shahbudin Yahaya iaitu perogol dibenarkan berkahwin dengan gadis yang dirogolnya untuk selesaikan isu berkenaan.

Nor Hafizah berkata, pendapat berkenaan bukan bermaksud semua perogol dibenarkan berkahwin dengan mangsanya, namun hanya untuk kes tertentu.

“Kes ini untuk umat Islam kerana ada peruntukan undang-undang syariah membenarkan perkahwinan bawah umur dengan syarat-syarat tertentu seperti mencapai akil baligh, perbuatan berkenaan berlaku secara sukarela, namun harus mendapat kebenaran ibu-bapa atau wali kepada gadis berkenaan,” katanya.

Chong Eng kemudian berhujah, penjelasan Nor Hafizah itu berbahaya sambil menjelaskan kerajaan negeri kini telah mengarahkan pegawai undang-undang supaya meneliti had umur berkahwin dinaikkan kepada 18 tahun berbanding 16 tahun ketika ini.

Nor Hafizah kemudian menjelaskan, bukan semua kes diselesaikan dengan cara demikian namun dalam kalangan masyarakat Melayu, sekiranya berlaku kejadian seperti itu, biasanya ibu bapa akan mencari jalan penyelesaian terbaik.