Enam termasuk kanak-kanak nyaris maut, bot terbalik di Pangkor

Sebaik tiba di lokasi kejadian, kesemua mangsa telah berjaya diselamatkan oleh nelayan yang berada di sekitar lokasi kejadian.
LUMUT: Enam lelaki termasuk seorang kanak-kanak nyaris maut selepas bot dinaiki terbalik ketika berada di Pulau Mentagor, kira-kira 0.5 batu nautika dari Pulau Pangkor di sini, malam ini.

Mangsa, Mohamed Fadzrul Mohd Faizal, 8; Muhammad Hazwan Zainal, 29; Muhamad Zubir Suhaimi, 28; Shahril Zakaria, 29; Mohd Zulkarnain Sohaimen, 32; dan Mohd Faisal Abd Majid, 35, dikatakan sedang memancing di kawasan tersebut sebelum bot mereka terbalik berikutan angin kencang.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor, Sukardi Mohamed berkata tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat kira-kira pukul 9 malam.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kesemua mangsa telah berjaya diselamatkan oleh nelayan yang berada di sekitar lokasi kejadian.

“Bot mereka ditunda balik oleh sekumpulan ‘beachboy’. Bot mengalami kerosakan di bahagian bumbung serta enjin,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sukardi berkata kesemua mangsa dari Kampar dihantar ke Klinik Kesihatan Pulau Pangkor untuk pemeriksaan lanjut.

— BERNAMA

Kategori
Nasional