DR. M KESAL IDEA KERETA NASIONAL KEDUA TIADA SAMBUTAN

negara ini tidak layak dan tidak mampu untuk mengadakan industri automotif kerana rakyat lebih rela membeli kereta import termasuk dari China, Jepun dan Jerman.

KUALA LUMPUR 17 Julai – Tun Dr. Mahathir Mohamad kesal kerana ideanya untuk mewujudkan kereta nasional kedua kurang mendapat sambutan.

Perdana Menteri menjelaskan, beliau diberitahu bahawa tiada siapa yang mahu melihat kereta nasional kedua dibangunkan kerana ramai beranggapan kewujudan Proton sudah memadai meskipun dikatakan gagal.

Menurut beliau, negara ini tidak layak dan tidak mampu untuk mengadakan industri automotif kerana rakyat lebih rela membeli kereta import termasuk dari China, Jepun dan Jerman.

“Saya masih ingat kereta Jepun sejurus selepas perang. Kata pengguna kalau kita toreh dengan kuku, kita akan lihat tin Milo. Tetapi dari kereta tin Milo inilah datang aneka model Toyota, Nissan dan Suzuki yang kita guna sekarang.

“Demikian juga kereta Pony buatan Hyundai, masa berlalu dan keluaran kereta Jepun dan Korea Selatan semakin baik. Di pasaran telah hilang kereta Austin, Morris dan lain-lain dari Eropah dan tentulah ini tidak akan berlaku dengan Malaysia, kereta kita tetap diperbuat dari tin Milo selama-lamanya,” katanya menerusi laman blog miliknya http://chedet.cc, semalam.

Sebelum ini, dalam sesi dialog Persidangan Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) di Tokyo, Jepun bulan lalu, Dr. Mahathir membayangkan Malaysia bakal memiliki satu lagi projek kereta nasional setelah pemilikan Proton kini sebahagiannya telah dijual kepada syarikat China, Geely.

Sementara itu, beliau menjelaskan, kerajaan tidak bercadang mewujudkan kereta nasional kedua itu sebagai industri automotif milik kerajaan.

“Kita tidak cadang membuat kereta nasional kedua oleh kerajaan kerana syarikat swasta kita sudah mampu reka bentuk, buat model tanah liat, model ujian dan mengeluarkan secara besar-besaran kereta bermotor.

“Tetapi kerana awal-awal lagi kita sudah tolak cadangan kereta nasional kedua, maka kita akan halang segala cadangan untuk mengeluarkan kereta bermotor oleh swasta. Sudah tentu kerajaan tidak akan ada industri automotif milik kerajaan,” katanya.

Kategori
Nasional