Datuk Dr Anis Yusal Yusoff dilantik KP JITN

"Saya menyambut baik pelantikan itu kerana beliau (Anis) berpengalaman luas dan pernah berkhidmat dalam pelbagai kedudukan sebelum ini. Kami telah bekerjasama rapat berkaitan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik,"

PUTRAJAYA: Presiden dan ketua eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Dr Anis Yusal Yusoff dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan berkata pelantikan bagi tempoh dua tahun itu berkuat kuasa mulai 12 Mac 2018.

“Pelantikan ini sangat penting. Beliau akan bekerjasama rapat dengan menteri yang bertanggungjawab bagi memastikan JITN memainkan peranan berkesan dalam menerajui usaha transformasi sektor awam dan swasta, dengan memberi fokus terhadap integriti, tadbir urus baik dan hak asasi manusia.

“Saya menyambut baik pelantikan itu kerana beliau (Anis) berpengalaman luas dan pernah berkhidmat dalam pelbagai kedudukan sebelum ini. Kami telah bekerjasama rapat berkaitan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik,” katanya kepada Bernama hari ini.

Anis pernah menganggotai beberapa majlis penasihat kebangsaan berkaitan rasuah, kepenggunaan, perpaduan negara dan integriti. Beliau juga adalah seorang pesuruhjaya dalam Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan.

Selain itu, beliau pernah berkhidmat selama lebih 10 tahun dengan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) dan di ibu pejabat Sukarelawan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNV) di Bonn, Jerman.

Anis juga pernah menjadi anggota Panel Penasihat bagi Perundingan dan Pencegahan Rasuah di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta menyandang kedudukan sebagai Ketua Felo di Institut Pengajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia, yang bertanggung jawab membangunkan KITA-MESRA, sistem amaran awal bagi mengurus potensi tercetusnya konflik etnik.

Beliau berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dan Sarjana Sains Pengurusan Maklumat dan Teknologi dari Syracuse University, Syracuse, New York.

Sementara itu, menurut Low, JITN merupakan suatu pendekatan holistik dan lestari yang diguna pakai kerajaan bagi mengubah set minda dan persepsi rakyat tentang integriti dan rasuah.

“JITN akan memberi tumpun terhadap isu berkaitan tender dan perolehan, prosedur pemberi maklumat, keperluan memperkasakan teknologi bagi mengurangkan intervensi manusia serta meningkatkan ketampakan dan ketelusan urus niaga.”

“Kami perlu lakukan perubahan terhadap budaya dan set minda perkhidmatan awam juga. Setiap peringkat perkhidmatan awam perlu mengubah set minda mereka supaya orang ramai akan menjadikan integriti sebagai keutamaan mereka,” katanya.

JITN dinaik taraf daripada Bahagian Integriti dan Tadbir urus Baik di bawah Jabatan Perdana Menteri kepada sebuah jabatan penuh.

Penubuhan JITN diluluskan kabinet pada 28 Julai tahun lepas, sejajar dengan Program Transformasi Kerajaan untuk menginstitusikan inisiatif pematuhan dalam bidang tadbir urus, integriti dan hak asasi manusia.

Jabatan itu ditubuhkan untuk menerajui usaha mentransformasi perubahan bagi membina keupayaan institusi, terutama dalam kalangan penjawat awam, memacu perubahan dasar dan memantapkan lagi proses kerajaan.

— BERNAMA

Kategori
BeritaNasional