Datang bukan hanya sebagai pelancong, tapi pelabur – Tun Dr Mahathir

"Oleh itu, Malaysia ingin belajar sama ada kami boleh menjadi pengeluar yang terbaik seperti China. Jadi kami ingin meneruskan hubungan baik ini selain menambah baik termasuk berusaha menggapainya,"

BEIJING: Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak masyarakat China datang ke Malaysia bukan sebagai pelancong tetapi sebagai pelabur yang akan memacu ekonomi kedua-dua buah negara.

Perdana Menteri menjelaskan, Malaysia berhasrat untuk mempelajari pelbagai bidang dari China termasuk dalam sektor pembuatan yang dipelopori negara itu ketika ini.

“Seperti di China, anda membawa teknologi, cara pembuatan terkini, termasuk bidang komunikasi, teknologi informasi (IT) selain mempunyai prospek bukan hanya kerana pembangunan dan import, sebaliknya dengan membuatnya sendiri.

“Oleh itu, Malaysia ingin belajar sama ada kami boleh menjadi pengeluar yang terbaik seperti China. Jadi kami ingin meneruskan hubungan baik ini selain menambah baik termasuk berusaha menggapainya,” ujar beliau pada sesi dialog bersama Kelab Usahawan China di sini pada Ahad.

Tambah Dr Mahathir, hubungan Malaysia-China yang terjalin sejak 2000 tahun lalu perlu diperkukuh dengan mengenepikan konfrontasi, sekali gus memberi fokus kepada pembangunan ekonomi.

“Perkara ini tidak susah untuk kita capai seperti mana saya katakan bahawa hubungan kami dengan China terjalin sejak 2000 tahun lalu. Pada ketika itu, tiada konfrontasi, kita boleh hidup sebagai negara berdaulat.

“Saya percaya ini akan diteruskan pada masa depan dengan kedua buah negara memfokuskan kepada pembangunan ekonomi, dan bukan konfrontasi.

“Kedua-dua buah negara membangun disebabkan oleh pengurusan ekonomi yang baik. Kita mampu memenuhi satu sama lain termasuk dalam mencipta kekayaan dan menghapuskan kemiskinan di Malaysia dan China,” ujar beliau.

Pada sesi soal jawab, beliau turut disoal berkenaan kekhuatiran rakyat China terutama dalam kalangan pelabur susulan kejadian kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 pada 2014.

Namun, Dr Mahathir menegaskan, perkara tersebut tidak harus kekal bermain di fikiran usahawan negara Tembok Besar itu.

“Saya harap masalah berkaitan MH370 tidak kekal di ingatan usahawan negara ini kerana perkara itu sesuatu yang kami tidak dapat bantu. Sehingga kini, kami tidak tahu bagaimana ia boleh berlaku.

“Jadi anda tidak boleh salahkan Malaysia atas apa yang jadi. Justeru saya harap rakyat China akan terus menggunakan penerbangan Malaysia termasuk juga penerbangan China untuk ke Malaysia,” ujarnya.

Kategori
Nasional