80 peratus penerima BR1M terima bayaran peringkat pertama

Kementerian Kewangan dah selesai salurkan duit pada bank untuk diagihkan kepada penerima akaun...

KUBANG PASU: Kira-kira 80 peratus daripada 7.2 juta penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tahun ini menerima bayaran peringkat pertama bantuan itu setakat hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz berkata, pembayaran bantuan itu dibuat kepada penerima yang layak, menerusi akaun bank masing-masing sejak proses bayaran mula dilaksanakan pada 26 Feb lepas.

“Kementerian Kewangan dah selesai salurkan duit pada bank untuk diagihkan kepada penerima akaun… penyaluran ke akaun bank penerima dijangka selesai sepenuhnya pada akhir bulan Mac ini.

“Bagi yang tidak mengemukakan maklumat akaun bank, baucar telah diedarkan kepada Pejabat Pembangunan Negeri dan Pejabat Daerah untuk diagihkan kepada penerima… penerima yang menerima BR1M melalui baucar, boleh menunaikan baucar tersebut di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) di Kampung Kuala Kerpan di Jerlun dekat sini pada Sabtu. Turut hadir Ketua Pengarah JPPH Nordin Daharom.

Othman yang juga Anggota Parlimen Jerlun, bagaimanapun berkata bagi penerima yang masih belum menerima bayaran bantuan itu dinasihatkan supaya bersabar kerana proses pembayaran masih berlangsung sehingga 31 Mac ini.

Sementara itu, beliau berkata sekiranya terdapat penerima yang layak, tetapi gagal dalam pembayaran bantuan peringkat pertama itu, mereka diminta berurusan dengan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi mengemukakan rayuan yang mula dibuka pada 1 April hingga 31 Mei nanti.

“Bagi rayuan ini, proses pembayaran akan dibuat pada Ogos secara sekali gus,” katanya.

Kerajaan memperuntukkan RM6.8 bilion untuk bayaran kepada 7.2 juta penerima BR1M 2018, dengan bayaran peringkat kedua pada Jun dan peringkat ketiga pada Ogos depan. — Bernama

Kategori
BeritaNasional