Malaysia raih gangsa Kejohanan Badminton Remaja Asia

China yang merupakan juara tujuh kali kejohanan berkenaan, akan berdepan Jepun pada perlawanan akhir, hari ini.

KUALA LUMPUR: Malaysia sekadar meraih pingat gangsa selepas tumpas 0-3 kepada Jepun pada saingan separuh akhir acara berpasukan campuran pada Kejohanan Badminton Remaja Asia di Jakarta, Indonesia.

Tuan rumah, Indonesia juga terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa apabila tewas 1-3 kepada China dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung di Pusat Latihan Dewan Sukan Jaya Raya, demikian menurut laman sesawang Badminton Asia, www.badmintonasia.org.

China yang merupakan juara tujuh kali kejohanan berkenaan, akan berdepan Jepun pada perlawanan akhir, hari ini.

Pada aksi semalam , Jepun berada di hadapan selepas Hiroki Midorikawa-Saito Natsu mengalahkan pasangan Malaysia Chia Wei Jie-Toh Ee Wei; 21-16, 21-15 dalam acara beregu campuran.

Kato Taiki menjadikan kedudukan 2-0 selepas menewaskan Ng Tze Yong 21-13, 23-25 dan 24-22 dalam acara perseorangan lelaki, sebelum Hiroki Midorikawa-Hiroki Nakayama mengesahkan kemenangan Jepun setelah mencatat kemenangan 21-17, 21-14 ke atas Chang Yee Jun-Chua Yue Chern dalam kategori beregu lelaki.

Acara individu dalam kesemua lima kategori – perseorangan dan beregu lelaki; perseorangan dan beregu wanita, serta beregu campuran akan bermula Rabu ini.

Kategori
BeritaSukan