‘Lois Lane’ mati bunuh diri – Pejabat Koroner

72 LOS ANGELES : Kematian aktres Margot Kidder yang terkenal dengan watak Lois Lane dalam filem adiwira ‘Superman’ disahkan akibat membunuh diri, kata pejabat koroner Montana. Tiada sebarang pengumuman...

LOS ANGELES : Kematian aktres Margot Kidder yang terkenal dengan watak Lois Lane dalam filem adiwira ‘Superman’ disahkan akibat membunuh diri, kata pejabat koroner Montana.

Tiada sebarang pengumuman mengenai punca kematian dibuat oleh ejen atau rumah pengebumian mendiang apabila aktres itu meninggal dunia Mei lalu namun pejabat koroner Park County di Montana mengesahkan bahawa Kidder mengambil nyawanya sendiri.

“Keluarga mendiang Kidder menggesa sesiapa sahaja yang mengalami penyakit mental atau berniat membunuh diri supaya mendapatkan rawatan dan kaunseling,” kata pejabat itu dalam satu kenyataan.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir sebulan sebelum pereka Kate Spade dan chef selebriti Anthony Bourdain menemui ajal akibat sebab yang sama, sekali gus meraih perhatian dunia berhubung peningkatan kes bunuh diri serta keperluan untuk menangani isu berkenaan sejak awal.

Kidder membintangi trilogi Superman terbitan tahun 1978 – 1983 dan membawakan watak seorang wartawan, Lois Lane yang dicintai rakan sekerjanya, Clark Kent atau Superman, dilakonkan oleh mendiang Christopher Reeve.

Beliau turut membuat penampilan khas dalam filem bertajuk Superman IV: The Quest for Peace yang diterbitkan pada tahun 1987.

Dilahirkan sebagai Margaret Ruth Kidder pada 17 Oktober 1948 di Wilayah Timur Laut Kanada, karier mendiang mencapai kemuncak kegemilangan pada era 70an dan 80an apabila berpeluang berlakon bersama barisan aktor terkenal, antaranya Robert Redford dan Richard Pryor.

Beliau meneruskan karier sebagai pelakon namun popularitinya mula menurun selepas mengalami masalah mental pada tahun 1996. – AFP

Kategori
BeritaDunia