Kwai Lam, 76, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 11 pagi tadi di Hospital Ampang Puteri di samping anggota keluarga.

“Ayah saya meninggal dengan tenang. Semua anak dan ahli keluarga ada bersamanya,” kata Carey, anak sulung mendiang, ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut Carey, ayahnya dimasukkan ke hospital sejak tiga hari lalu selepas keadaan kesihatannya semakin merosot.

Mendiang Kwai Lam ,  pemain bola sepak kebangsaan era 60-an hingga awal 70-an,  merupakan bekas ketua jurulatih pasukan Malaysia, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, pasukan bawah 23 tahun Malaysia dan kelab Singapura, Tampines Rovers serta Paya Lebar Punggol.

Beliau membimbing pasukan Kuala Lumpur memenangi tiga kejuaraan Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut, satu kejuaraan liga, naib juara Piala FA dan juara Piala Sumbangsih.