Korban banjir Kerala meningkat 67 orang

35 KOCHI (INDIA) : Jumlah kematian akibat banjir di lokasi tumpuan pelancong di Kerala, selatan India meningkat kepada 67 selepas 25 kematian lagi dilaporkan semalam, manakala lebih 50,000 penduduk...

KOCHI (INDIA) : Jumlah kematian akibat banjir di lokasi tumpuan pelancong di Kerala, selatan India meningkat kepada 67 selepas 25 kematian lagi dilaporkan semalam, manakala lebih 50,000 penduduk terpaksa berlindung di kem penempatan sementara.

Kerala yang terkenal dengan pantai dan ladang teh dilanda monsun setiap tahun namun ia lebih buruk pada tahun ini apabila ratusan perkampungan dinaiki air, menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menghentikan sementara semua penerbangan di negeri itu.

“Sebanyak 25 kematian disahkan petang tadi. Situasi amat buruk di kebanyakan tempat di negeri ini dan jumlah kematian dijangka terus meningkat,” kata seorang pegawai kanan dari Lembaga Pengurusan Bencana Negeri Kerala.

Laporan tidak rasmi media tempatan pula menyebut jumlah kematian yang lebih tinggi dan usaha berterusan untuk membantu kawasan dilanda banjir.

Menurut pegawai itu lagi, pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran merah di kesemua 14 daerah dengan hujan lebat diramalkan berterusan selama 24 jam lagi di kebanyakan tempat.

Ketua Menteri Kerala, Mahathir Vijayan dalam satu kenyataan di Twitter berkata, Lapangan Terbang Kochi iaitu pintu masuk utama ke negeri itu akan ditutup sehingga Sabtu berikutan hujan lebat dan banjir yang melanda.

Vijayan turut mengadakan mesyuarat tergempar bersama pasukan penyelamat di negeri itu lewat malam tadi dan berbincang bersama Perdana Menteri Narendra Modi berhubung keadaan semasa di Kerala. – AFP

Kategori
BeritaDunia