Konsulat Australia di Surabaya pertingkat kawalan keselamatan

53 JAKARTA: Konsulat Australia di bandar Indonesia di Surabaya meningkatkan langkah keselamatannya hari ini susulan tulisan di media sosial yang menggesa militan ‘membunuh’ pegawainya di sana. Jabatan Hal Ehwal...

JAKARTA: Konsulat Australia di bandar Indonesia di Surabaya meningkatkan langkah keselamatannya hari ini susulan tulisan di media sosial yang menggesa militan ‘membunuh’ pegawainya di sana.

Jabatan Hal Ehwal Luar mengemas kini nasihat perjalanannya hari ini, memaklumkan, pegawai Australia di Surabaya tidak akan hadir satu acara di Universiti Airlangga di bandar itu berikutan kebimbangan keselamatan dipertingkat.

Dua sumber keselamatan di Indonesia berkata, peningkatan ancaman keselamatan itu susulan tulisan di media sosial yang menggesa rakyatnya di Surabaya dan wilayah Jawa Timur ‘membunuh pegawai Australia.’

“Australia adalah anggota pakatan antarabangsa menentang Daesh yang membunuh ribuan Muslim. Balas dendam untuk darah Muslim,” kata mesej yang dilihat Reuters.

Satu sumber keselamatan di Indonesia berkata, tulisan di aplikasi Telegram itu yang kemudian disebarkan di platform media sosial lain, didapati berasal dari Netherlands.

“Ia tidak begitu sahih. Tiada bukti keupayaan atau sesiapa rakyat tempatan yang membalas mesej itu,” kata sumber kepada Reuters.

Australia membuka konsulatnya di Surabaya, bandar kedua terbesar di Indoensia awal bulan ini. -Reuters

Kategori
BeritaDunia