Kes gua Thailand: Seorang lagi mungkin dijangkiti pneumonia

39 CHIANG RAI: Seorang lagi mangsa yang diselamatkan dari kompleks gua Tham Luang, semalam menunjukkan simptom jangkitan pneumonia, kata beberapa pegawai kesihatan kepada pemberita di Hospital Chiang Rai Prachanukroh,...

CHIANG RAI: Seorang lagi mangsa yang diselamatkan dari kompleks gua Tham Luang, semalam menunjukkan simptom jangkitan pneumonia, kata beberapa pegawai kesihatan kepada pemberita di Hospital Chiang Rai Prachanukroh, hari ini.

Menurut laporan laman berita Singapura, Channel NewsAsia (CNA) tengah hari tadi, perkembangan itu berlaku selepas mereka mengesyaki simptom jangkitan sama pada dua kanak-kanak lelaki yang diselamatkan pada Ahad lalu.

Menurut salah seorang pegawai kesihatan itu, empat kanak-kanak lelaki pertama yang diselamatkan pada Ahad lalu sedang pulih dengan baik dengan imbasan sinar-X dada mereka menunjukkan keadaan lebih baik.

Katanya, mereka yang mempunyai tanda pneumonia perlu ditahan di hospital selama seminggu dan kemudian boleh berehat di rumah masing-masing selama seminggu lagi.

Salah seorang pegawai berkata, kebanyakan kanak-kanak lelaki itu mengalami penyusutan berat badan pada purata dua kilogram, sepanjang terperangkap dalam gua.

Pneumonia adalah jangkitan pada paru-paru sama ada disebabkan bakteria, virus atau kulat. Ia menyebabkan bengkak pada ruang udara kecil dalam paru-paru iaitu ‘alveoli’ yang dipenuhi dengan lendir atau nanah. – Agensi/ CNA

Kategori
BeritaDunia