Jerman buka jalan pilihan ‘jantina ketiga’ sejak lahir

68 BERLIN: Kerajaan Jerman hari ini meluluskan satu draf undang-undang membenarkan pilihan jantina ketiga pada sijil kelahiran untuk bayi yang tidak jelas sama ada lelaki atau perempuan. Dalam satu...

BERLIN: Kerajaan Jerman hari ini meluluskan satu draf undang-undang membenarkan pilihan jantina ketiga pada sijil kelahiran untuk bayi yang tidak jelas sama ada lelaki atau perempuan.

Dalam satu tindakan disifatkan Menteri Kehakiman sebagai ‘lama tertangguh’, pakatan kiri-tengah pentadbiran Canselor Angela Merkel meluluskan rang undang-undang membenarkan kanak-kanak lahir sebagai interseks (di pertengahan jantina) didaftarkan sebagai ‘pelbagai.’

Langkah itu disusuli keputusan sebuah tribunal atasan Jerman November lalu bahawa peraturan ketika ini berkaitan status awam dianggap diskriminasi terhadap golongan interseks, mengakui pengenalan seksualiti seseorang individu dilindungi sebagai hak asas.

Sejak 2013 Jerman membenarkan bayi lahir dengan kriteria dua jantina atau khunsa, mengosongkan pilihan jantina sama ada lelaki atau perempuan.

Mahkamah Perlembagaan Persekutuan memberi Parlimen sehingga akhir tahun 2018 untuk meminda undang-undang berkenaan.

Keputusan itu memihak kepada rayuan dikemukakan seorang individu dewasa interseks dan berkata, mahkamah dan pihak berkuasa negara seharusnya tidak lagi mewajibkan golongan itu memilih sama ada jantina lelaki atau perempuan.

Interseks adalah terma meluas terdiri daripada individu yang memiliki ciri-ciri jantina seperti alat kelamin atau kromosom yang tidak sepenuhnya membentuk lelaki dan wanita biasa.

Menteri Kehakiman Katarina Barley, yang mana pejabatnya mendraf rang undang-undang berkenaan berkata, perundangan itu menandakan langkah besar ke hadapan dengan menyediakan pilihan jantina baharu sejak lahir.

“Tiada siapa perlu didiskriminasi terhadap asas identiti seksual mereka,” katanya menambah, kategori baharu itu akan memberi golongan interseks maruah dan identiti positif lebih besar. -AFP

Kategori
BeritaDunia