SUHAIMI, INA NAIM BERPINDAH KE KELANTAN

Ina Naim atau sebenarnya Nordiana Md Naim, 34, mengambil keputusan untuk berpindah dan tinggal di negeri Cik Siti Wan Kembang itu sejak setahun lalu.

LAMA tidak mendengar khabar berita bekas ahli kumpulan nasyid popular In-Team, Suhaimi Saad, rupa-rupanya sudah setahun berhijrah bersama keluarga dan menetap di Kota Bharu, Kelantan.

Suhaimi,38, berkata, dia dan isteri, Ina Naim atau sebenarnya Nordiana Md Naim, 34, mengambil keputusan untuk berpindah dan tinggal di negeri Cik Siti Wan Kembang itu sejak setahun lalu.

Katanya, keputusan dibuat selepas perbincangan dengan Ina yang bersetuju berpindah kerana tuntutan kerjaya dan juga berada lebih dekat dengan dua putera mereka, Ehmad Hadie El Fardie, 10 dan Sallman El Khoyri,8, yang kini sedang menuntut di sebuah pusat tahfiz di Bachok, Kelantan.

“Segala-galanya bermula apabila saya kerap mendapat undangan daripada Kelantan dan Terengganu. Kami sering berulang alik dari Kuala Lumpur ke dua negeri itu untuk membuat persembahan, dari situ timbul ideal pindah ke Kelantan.

“Kebetulan juga, dua anak memang sedang belajar di Bachok, jadi masa saya suarakan hasrat untuk pindah tinggal di Kelantan, Ina terus setuju atas sebab dua daripada empat anak kami itu berada di sini,” katanya yang berkunjung ke Pejabat Sinar Harian, Kelantan, semalam.

Kata Suhaimi atau nama sebenarnya Mohd Suhaimi Saad yang sudah 10 tahun bergerak secara solo daripada kumpulan In-Team itu, rezeki selepas hijrah semakin melimpah apabila berterusan mendapat undangan dan jemputan mengadakan persembahan di serata negeri Kelantan dan Terengganu.

Kategori
Hiburan