Fenomena alga merah paksa Florida isytihar darurat

53 SARASOTA (FLORIDA) : Kerajaan negeri mengeluarkan perintah darurat di Florida susulan fenomena alga merah terburuk sejak sedekad lalu yang menyaksikan kematian lebih 100 tan hidupan laut. Antara hidupan...

SARASOTA (FLORIDA) : Kerajaan negeri mengeluarkan perintah darurat di Florida susulan fenomena alga merah terburuk sejak sedekad lalu yang menyaksikan kematian lebih 100 tan hidupan laut.

Antara hidupan berkenaan termasuk ikan lumba-lumba, penyu dan ikan yang memenuhi permukaan laut dan mula berbau busuk, menyebabkan kerja-kerja mengalihkan semua bangkai itu terpaksa dilakukan tanpa henti.

Kesemua bangkai haiwan berkenaan memenuhi kawasan pantai yang menjadi tumpuan pelancong di barat daya Florida sejak mikro organisma itu mula membiak bulan ini.

Hanya dalam tempoh seminggu, 12 ekor ikan lumba-lumba ditemui terdampar mati di Sarasota County, iaitu jumlah kematian yang menyamai tempoh untuk sepanjang tahun sebelum ini.

Ketua pasukan pengumpul rangka haiwan dari Makmal Marin Mote, Gretchen Lovewell berkata, keadaan itu amat mencabar mental dan fizikal semua pihak terbabit.

Beliau dan dua lagi petugas bekerja hampir 24 jam sehari untuk membantu mengutip semua bangkai haiwan berkenaan.

Ahad lalu Lovewell menemui bangkai seekor ikan lumba-lumba yang hampir reput dengan nombor 252 ditanda pada sirip mamalia itu.

Ia adalah milik ikan lumba-lumba jantan berusia 12 tahun dikenali sebagai Speck yang dilihat hampir 300 kali oleh penyelidik khusus memantau kesemua generasi ikan lumba-lumba hidung botol di Teluk Sarasota. – AFP

Kategori
BeritaDunia