TNB tawar insentif khas sambutan Hari Kebangsaan

empena sambutan Hari Kebangsaan ke-61, Tenaga Nasional Bhd (TNB) sekali lagi menawarkan insentif khas bagi menggalakkan pengguna perdagangan menerangi bangunan dan kawasan persekitaran masing-masing dengan lampu hiasan.

KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-61, Tenaga Nasional Bhd (TNB) sekali lagi menawarkan insentif khas bagi menggalakkan pengguna perdagangan menerangi bangunan dan kawasan persekitaran masing-masing dengan lampu hiasan.

TNB dalam satu kenyataan hari ini, berkata insentif yang diberikan sejak 2000 itu diberikan kepada semua pengguna perdagangan di bawah tarif B, C1 dan C2 yang beroperasi sekurang-kurangnya setahun, untuk tempoh dua bulan iaitu Ogos dan September 2018.

“Kadar insentif adalah 20.8 sen/kWj (kadar tarif Neon & Floodlight) bagi jumlah peningkatan penggunaan tenaga elektrik yang melebihi purata kegunaan tiga bulan yang diambil dari bulan Mei, Jun dan Julai 2018.

“Ia membabitkan bangunan pencakar langit, bangunan pejabat, kompleks komersial, kompleks membeli-belah, hotel serta stesen minyak,” kata syarikat utiliti nasional itu.

Pengguna yang layak boleh mendapatkan borang permohonan di semua Kedai Tenaga berhampiran atau melalui myTNB Self Service Portal, www.mytnb.com.my.

Tarikh tutup permohonan ialah pada 15 September 2018. – BERNAMA

Kategori
Ekonomi