SST BOLEH TURUNKAN HARGA RUMAH HINGA 10 PERATUS

“Andaian kasar untuk sesebuah harga rumah kurang antara lima dan 10 peratus itu mungkin dapat dicapai berdasarkan keperluan bahan binaan asas simen dan batu dikecualikan SST.

KUALA LUMPUR: Harga rumah dijangka turun antara lima hingga 10 peratus susulan langkah kerajaan mengecualikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap bahan binaan khususnya simen dan batu bata apabila cukai itu diperkenalkan bulan hadapan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata dua barang utama pembinaan itu turut dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) oleh kerajaan terdahulu, antara faktor menyebabkan kenaikan harga rumah dan bangunan.

“Andaian kasar untuk sesebuah harga rumah kurang antara lima dan 10 peratus itu mungkin dapat dicapai berdasarkan keperluan bahan binaan asas simen dan batu dikecualikan SST.

“Bagaimanapun harus diingat, harga tanah di sesebuah kawasan juga adalah faktor yang mempengaruhi harga rumah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Kompleks Wan Kien di sini malam ini.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Kumpulan City Motors, Datuk Foo Wan Kien.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul berkata, faktor harga rumah juga ditentukan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri.

“Justeru kita berharap kerajaan negeri akan lebih bekerjasama dengan menurunkan harga premium tanah dan caj pembangunan untuk mengawal keseluruhan harga rumah.

“Jika ini tidak dapat dilakukan, adalah sukar untuk kerajaan bersendirian membuat keputusan bagi mengurangkan harga rumah,” katanya.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataannya hari ini berkata, perkhidmatan pembinaan dan kos bahan binaan akan dikecualikan daripada SST sekali gus meringankan tekanan ke atas harga rumah, bangunan industri dan bangunan komersial.

Katanya, antara contoh bahan pembinaan yang tidak dikenakan SST adalah simen, pasir dan besi.

“Dengan cadangan pengecualian barang berkenaan daripada dikenakan SST dan kaedah implementasi cukai SST yang lebih baik berbanding GST, pihak pemaju dan pembeli harus mendapat faedah daripada pengurangan beban cukai ini,” kata Guan Eng.

Keputusan kerajaan itu turut disambut baik Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad, yang menyifatkan ia adalah satu langkah bijak dalam usaha kerajaan membantu mengurangkan beban rakyat termasuk pemaju perumahan.

Kategori
Ekonomi