Saudi, UAE laksana cukai seperti GST perkasakan ekonomi

harga RON95 di Arab Saudi sama dengan Malaysia, manakala harga di UAE lebih tinggi daripada kita

Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memperkenalkan cukai nilai tambah (VAT) pada kadar 5% mulai hari ini untuk memperkasakan ‘langkah mereka menuju kemajuan dan kemakmuran’.

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Eric See-To melalui catatan di Facebooknya berkata, cukai itu dilaksanakan 2 kerajaan berkenaan dalam rangka kerja perjanjian seragam yang diluluskan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk.

Katanya, VAT yang mempunyai konsep sama dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada masa sama dengan kenaikan harga petrol RON95 oleh 2 kerajaan itu, dengan Riyadh menaikkan harganya lebih 2 kali ganda.

Beliau berkata, kerajaan Saudi turut menaikkan tarif elektrik domestik 3 kali ganda hari ini.

“Kerajaan Arab Saudi dan UAE menyatakan langkah ini penting untuk menjamin masa depan dan ekonomi mereka lebih berdaya saing serta cekap.”

Sejak GST dilaksanakan di Malaysia pada kadar 6% mulai April 2015, parti pembangkang termasuk DAP dan PKR mengecam dasar itu dengan mendakwa ia menyebabkan inflasi dan membebankan rakyat.

Dalam ucapan tahun barunya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggalakkan “impian rakyat Malaysia” dengan berkata, ia termasuk bebas daripada GST.

“Tidak lama dahulu, petrol di kedua-dua negara itu lebih murah daripada Malaysia kerana mereka menghasilkan puluhan kali minyak lebih banyak daripada negara kita,” katanya.

Hari ini, Reuters melaporkan harga RON95 di Arab Saudi dinaikkan 0.90 riyal (98 sen) seliter kepada 2.04 riyal (RM2.21) seliter.

See-To berkata, harga RON95 di UAE pada Januari turut dinaikkan daripada RM2.24 kepada RM2.36.

Pada 28 Disember lalu, harga RON95 dan RON97 di Malaysia jatuh 1 sen kepada RM2.26 dan RM2.53 seliter.

“Tidak seperti Malaysia, harga minyak RON95 di UAE dan Arab Saudi termasuk GST dan kedua-dua negara itu tidak mengecualikan petrol daripada cukai.

“Dengan langkah ini, harga di Arab Saudi sama dengan Malaysia, manakala harga di UAE lebih tinggi daripada kita.”

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak dapat melaksanakan banyak projek pembangunan untuk manfaat rakyat jika ia tidak terus bergantung kepada sumber minyak dan gas yang menyumbang 41% pendapatan setiap tahun.

Katanya, langkah mempelbagaikan sumber, termasuk GST menyelamatkan ekonomi negara daripada mengalami keadaan kritikal.

“Apabila saya mengambil alih kerajaan, kita bergantung kepada sumber minyak dan gas sebanyak 41%. Tetapi hari ini, kita bergantung hanya 14% selepas kita mempelbagaikan sumber.

“Bayangkan jika kita bergantung 41% daripada sumber minyak seperti sebelum ini dan harga minyak jatuh. Apa akan berlaku kepada ekonomi negara…jawapannya ialah ia tentu kritikal.”

Katanya, kutipan GST menyumbang RM41 bilion kepada kerajaan dan jika ia dihentikan, ia akan menyebabkan kerajaan berdepan masalah.

“Setiap tahun, bajet negara ialah RM220 bilion dan bajet pembangunan negara dianggarkan RM45 bilion setiap tahun.

“Jika anda menghapuskan kutipan GST, negara hampir tiada peruntukan untuk pembangunan setiap tahun.”

Kategori
Ekonomi