PRESTASI KEWANGAN MAXIS TERUS CEMERLANG

Pencapaian itu dipacu oleh momentum pertumbuhan kukuh dalam segmen pasca bayar seiring dengan usaha syarikat untuk menginovasikan produk bagi segmen keluarga.

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd (Maxis) mencatatkan keputusan kewangan kukuh pada suku kedua 2018 dengan hasil perkhidmatan meningkat 1.7 peratus kepada RM2.01 bilion berbanding RM1.98 bilion suku sebelumnya.

Pencapaian itu dipacu oleh momentum pertumbuhan kukuh dalam segmen pasca bayar seiring dengan usaha syarikat untuk menginovasikan produk bagi segmen keluarga.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Robert Nason, berkata komitmen dan cita-cita syarikat adalah untuk menyediakan produk dan pengalaman yang berkualiti serta inovatif telah menghasilkan keputusan stabil bagi suku kedua 2018.

Beliau berkata, pihaknya gembira dengan pertumbuhan kukuh dalam segmen pascabayar dan perkembangan yang baik dalam pemulihan perniagaan prabayar.

“Kami akan terus menumpukan fokus kepada kecekapan operasi dan melabur dalam mengekalkan rangkaian yang terunggul. Secara keseluruhan, kami yakin dengan apa yang bakal ditawarkan kepada pelanggan, seiring dengan usaha untuk mencipta pengalaman digital yang lebih berkualiti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Maxis mencatatkan untung bersih lebih rendah iaitu sebanyak RM478 juta, disebabkan oleh perbelanjaan susut nilai yang lebih tinggi pada suku kedua berakhir 30 Jun 2018, berbanding RM572 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun lalu.

Dalam suku dikaji, penyedia pekhidmatan komunikasi itu mencatatkan perolehan sebanyak RM2.24 bilion berbanding RM2.33 bilion sebelumnya.

Bagi separuh pertama 2018, keuntungan bersih adalah sebanyak RM1.0 bilion berbanding RM1.07 bilion bagi tempoh sama tahun lalu, manakala perolehan adalah sebanyak RM4.48 bilion berbanding RM4.71 bilion pada separuh tahun pertama 2017.

Nason berkata, Maxis mengekalkan kepimpinan dalam rangkaian 4G LTE terpantas di negara ini yang meliputi 92 peratus daripada jumlah penduduk.

Katanya, syarikat akan terus melabur secara signifikan dalam rangkaian ini bagi memberikan pengalaman rangkaian terbaik kepada pelanggan.

“Pada suku kedua, kami melabur sebanyak RM212 juta dalam perbelanjaan modal, iaitu peningkatan sebanyak RM105 juta dari suku lalu.

“Pelaburan ini mengupayakan syarikat untuk mengendalikan peningkatan kapasiti bagi penggunaan data pelanggan yang semakin meningkat, sambil memberikan pengalaman terbaik,” katanya.

Selain itu, penggunaan data turut menyaksikan lonjakan sebanyak 18.7 peratus kepada 9GB sebulan dari suku yang lalu.

Ia disokong oleh peningkatan penembusan telefon pintar yang mencapai 83 peratus.

Kategori
Ekonomi