Paras Hutang Negara Terus Berkurangan Pada Akhir Tahun – MOF

Kerajaan telah mempelbagaikan sumber hasil dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil berkaitan petroleum di mana peratusan kepada jumlah hasil berkurang dengan ketara daripada 41.3 peratus pada 2009 kepada 15.7 peratus pada 2017

KUALA LUMPUR: Paras hutang Kerajaan Persekutuan akan terus berkurang kepada sekitar 50 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada akhir tahun berikutan sasaran defisit fiskal yang lebih rendah pada 2018.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), pada akhir 2017, hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM686.8 bilion atau 50.8 peratus daripada KDNK, lebih rendah di bawah had 55 peratus ditetapkan.

“Hutang dalam negeri kekal sebagai komponen terbesar meliputi 96.9 peratus, mengehadkan pendedahan kepada risiko tukaran asing,” kata MoF dalam satu kenyataan hari semalam.

Menurut MoF, Kerajaan Persekutuan terus membiayai perbelanjaan pembangunan menerusi pinjaman daripada pasaran domestik.

Agensi penarafan utama mengekalkan penarafan kredit Malaysia pada gred pelaburan A- dan A3, mencerminkan pengiktirafan ke atas inisiatif pembaharuan fiskal dalam mengukuhkan penarafan kredit.

Menurut MoF, pada 2017, jumlah hasil meningkat 3.8 peratus kepada RM220.4 bilion disokong oleh hasil cukai yang lebih baik selaras peningkatan pematuhan cukai.

Kerajaan juga mempelbagaikan sumber hasil dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil berkaitan petroleum di mana peratusan kepada jumlah hasil berkurang dengan ketara daripada 41.3 peratus pada 2009 kepada 15.7 peratus pada 2017.

Selain itu, Kerajaan berjaya membendung pertumbuhan perbelanjaan di mana jumlah perbelanjaan meningkat kecil sebanyak 4.1 peratus kepada RM262.6 bilion, kata MoF.

“Seterusnya, jumlah perbelanjaan sebagai peratusan kepada KDNK menunjukkan aliran penurunan daripada 20.5 peratus pada 2016 kepada 19.4 peratus pada 2017, mencerminkan usaha berterusan meningkatkan kecekapan perbelanjaan,” tambah MoF.

Sektor sosial yang merangkumi 38 peratus daripada jumlah perbelanjaan kekal sebagai penerima terbesar peruntukan terutamanya dalam subsektor pendidikan, latihan dan kesihatan.

Menurut MoF, sektor awam terus mengimbangi aktiviti sektor swasta dalam menjana pertumbuhan ekonomi perbelanjaan pembangunan, terutamanya projek infrastruktur dalam meningkatkan keupayaan dan keterangkuman ekonomi.

Kerajaan melaksanakan Program Transformasi Fiskal (FTP) bagi terus mengukuhkan kedudukan kewangan.

Menurut MoF, program ini juga adalah bagi menyediakan ruang fiskal yang mencukupi untuk melaksanakan langkah kitaran balas bagi menangani impak negatif daripada cabaran global

“Dasar fiskal kekal menyokong langkah meningkatkan daya tahan dan daya saing ekonomi negara, serta memastikan kesejahteraan rakyat dan penyampaian perkhidmatan awam yang berkualiti.

“Kerajaan terus komited melaksanakan langkah konsolidasi fiskal ke arah mencapai bajet hampir berimbang pada 2020. Ini terbukti dengan pengurangan defisit fiskal secara konsisten daripada 6.7 peratus berbanding KDNK pada 2009 kepada 3.0 peratus pada 2017,” tambah MoF.– BERNAMA

Kategori
Ekonomi