NUNGSARI DILANTIK PENGERUSI EKSEKUTIF BAHARU MAVCOM

Dr Nungsari mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam bidang akademik, penasihat korporat, penyelidikan ekonomik dan penasihat dasar.

MAVCOM dalam satu kenyataan berkata, sebelum dilantik ke jawatan baharunya itu, Dr Nungsari adalah Anggota Suruhanjaya di MAVCOM sejak penubuhannya pada 1 Mac 2016.

Katanya, Dr Nungsari mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam bidang akademik, penasihat korporat, penyelidikan ekonomik dan penasihat dasar.

Beliau memegang ijazah kedoktoran PhD dalam bidang Ekonomi daripada Purdue University dan juga merupakan Pengarah Urusan Prokhas Sdn Bhd, sebuah syarikat di bawah Kementerian Kewangan.

Selain itu beliau juga adalah salah seorang ahli lembaga pengarah Pengurusan Danaharta Nasional Bhd, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd dan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd.

“MAVCOM mengalu-alukan pelantikan Dr Nungsari seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

“Dengan pelantikan itu, beliau akan mengambil alih kesemua tugas eksekutif yang dilaksanakan oleh Abdullah sebelum ini. Pelaksanaan tugas beliau akan disokong oleh Anggota Suruhanjaya dan pengurusan kanan MAVCOM.

“MAVCOM juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Abdullah di atas kepimpinannya sejak dua tahun lalu,” katanya.

Abdullah yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif MAVCOM telah meninggalkan suruhanjaya itu pada awal bulan ini.

Kategori
Ekonomi