Najib: Ekonomi Malaysia Berkembang Pada Tahap Membanggakan

Pada 2017, ekonomi Malaysia berkembang pada 5.9% dan unjuran pertumbuhan ekonomi pada 2018 kepada antara 5.5 dan 6.0 peratus

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia akan terus berkembang  pada tahap yang  membanggakan berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) yang menaikkan  unjuran pertumbuhan ekonomi pada 2018 kepada antara 5.5 dan 6.0 peratus, kata Perdana Menteri, Najib Razak.

“@BNM_official menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi kita bagi 2018 kepada 5.5%-6% daripada 5%-5.5%, dan kadar inflasi keseluruhan dijangka pada purata antara 2% dan 3% berbanding 3%-3.5% insya-Allah, ekonomi kita akan terus berkembang pada tahap membanggakan,” katanya menerusi laman Twitter beliau semalam.

Pada 2017, ekonomi Malaysia berkembang pada 5.9%.

Gabenor BNM, Muhammad Ibrahim berkata berdasarkan prestasi kukuh yang berterusan, ekonomi Malaysia berpotensi untuk mencatat pertumbuhan melebihi enam peratus pada tahun ini.

“Pertumbuhan penggunaan swasta dijangka terus mampan, disokong oleh pertumbuhan dalam pekerjaan dan pendapatan yang berterusan, inflasi yang lebih rendah dan sentimen yang lebih baik,” katanya kepada editor kanan semasa taklimat sempena pengumuman Laporan Tahunan 2017 serta Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2017 bank pusat itu Rabu.

Pertumbuhan pendapatan akan disokong oleh prestasi eksport yang kukuh dan pelbagai langkah oleh kerajaan yang berterusan, seperti pemindahan tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia, pengurangan cukai pendapatan individu dan pembayaran khas kepada semua  penjawat awam dan pesara.

Muhammad berkata, sementara itu, pertumbuhan pelaburan swasta juga akan dikekalkan, disokong oleh perbelanjaan modal yang berterusan dan baharu dalam sektor pembuatan serta perkhidmatan, selain diperkukuhkan oleh sentimen perniagaan positif yang berlanjutan.–BERNAMA

Kategori
Ekonomi