MALAYSIA ANTARA EKONOMI ASIA TENGGARA PESAT MEMBANGUN

"Dengan unjuran pertumbuhan ekonomi kukuh pada 5.4 peratus, Malaysia adalah satu daripada ekonomi Asia Tenggara yang sedang pesat membangun,"

Pada Mac, Dentons mengumumkan kerjasamanya dengan Zain & Co, firma guaman yang telah lama bertapak di Malaysia serta enam lagi firma di Indonesia, Afrika dan Caribbean.

“Dengan unjuran pertumbuhan ekonomi kukuh pada 5.4 peratus, Malaysia adalah satu daripada ekonomi Asia Tenggara yang sedang pesat membangun,” kata Naib Pengerusi Global dan Ketua Pegawai Eksekutif ASEAN Philip Jeyaretnam SC kepada Bernama.

Beliau berkata, keluaran dalam negara kasar Malaysia meningkat dengan pesat susulan peningkatan perbelanjaan bagi sektor swasta dan kenaikan eksport.

“Terdapat permintaan dari luar bagi produk dan eksport komoditi negara seperti minyak kelapa sawit dan getah dan kita juga melihat syarikat di Malaysia lebih banyak melabur di luar negara.

“Peningkatan ini dijangka terus bertambah sebaik sahaja Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dimuktamadkan,” katanya.

RCEP dijangka menjadi perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia, merangkumi separuh daripada populasi dunia dengan gabungan pengeluaran bernilai AS$22.7 trilion (RM91.71 trilion) pada 2014, membabitkan hampir 30 peratus ekonomi dunia.

Jeyaretnam berkata, Dentons telah bertapak kukuh di Singapura dan Myanmar, dan penerokaan ke Malaysia dan Indonesia membentuk sebahagian daripada strateginya untuk memanfaatkan ekonomi serantau yang sedang pantas berkembang dan dinamik itu.

“Ia membolehkan kami menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan dengan akses lancar bagi peluang perniagaan di seluruh negara ASEAN,” katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif pertama Dentons Rantau ASEAN.

Ditanya sebarang peluang yang boleh diraih Dentons daripada integrasi ekonomi serantau yang lebih kukuh di ASEAN, Jeyaretnam berkata Komuniti Ekonomi ASEAN menjanjikan peluang untuk mengurangkan halangan perdagangan.

“Kami turut berharap akan ada beberapa perubahan dalam perkhidmatan,” katanya.

Jeyaretnam berkata, ASEAN tidak begitu selaras seperti Kesatuan Eropah atau negara-negara yang berkongsi struktur undang-undang yang sama kerana tradisi undang-undang dan budaya di ASEAN adalah pelbagai.

Namun pada masa yang sama, beliau berkata usaha sedang dilakukan untuk menyelaraskannya agar pengawal selia dapat bekerjasama.

“Prosesnya sedang berjalan dengan beberapa negara lebih rapat antara satu dengan lain dari sudut yang lebih meluas.

“Di Singapura, kita mempunyai pengaruh dari segi falsafah pengawal seliaan bagi Brunei. Kita dapat lihat Myanmar merujuk kepada Singapura dalam aspek pembaharuan komersial. Mungkin, Malaysia dan Singapura juga hampir sama.

“Namun, ia akan mengambil masa untuk mencapai penyelarasan yang lebih meluas. Ini bukan pasaran tunggal bagi 600 juta penduduk,” katanya.

Kategori
Ekonomi