CUKAI KORPORAT TIDAK BOLEH DIKURANGKAN – GUAN ENG

Cukai korporat tidak dapat dikurangkan dalam tempoh dua tahun ini memandangkan kerajaan perlu memulihkan kedudukan kewangan negara berikutan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terlebih dahulu.

KUALA LUMPUR: Cukai korporat tidak dapat dikurangkan dalam tempoh dua tahun ini memandangkan kerajaan perlu memulihkan kedudukan kewangan negara berikutan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terlebih dahulu.

Secara peribadi, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berpendapat adalah perlu untuk mengurangkan cukai bagi menjadikan Malaysia lebih menarik.

Negara lain juga, katanya, sedang menuju ke arah pengurangan cukai korporat.

“Bagaimanapun, ini (pengurangan cukai korporat) tidak mungkin dilaksanakan tahun ini atau tahun depan kerana skandal 1MDB.

“Kita perlu memulihkan kedudukan kewangan kita terlebih dulu,” katanya ketika ditemui pada majlis makan tengah hari khas yang dianjurkan Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada kerajaan berhasrat mengurangkan cukai korporat tahun depan.

Mengulas mengenai tindakan yang akan diambil kerajaan bagi peniaga yang menaikkan harga secara tidak munasabah susulan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Guan Eng berkata, sudah pasti tindakan dikenakan kepada peniaga yang mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan melampau berikutan pelaksanaan semula cukai tidak langsung itu.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga tidak bertanggungjawab itu akan dikendalikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Sementara itu, mengenai kutipan Tabung Harapan Malaysia (Tabung Harapan) , Guan Eng berkata, jumlah kutipan tabung berkenaan terus meningkat.

Buat masa ini, beliau berkata, kerajaan akan meneruskan kutipan tabung berkenaan.

Setakat 3 petang semalam, jumlah kutipan Tabung Harapan Malaysia mencecah RM155.999 juta.

Terdahulu, dalam ucapannya, Guan Eng berkata, kerajaan komited dalam memulihkan kedudukan fiskal dan kewangan negara, memastikan dasar ekonomi yang dapat mensejahterakan rakyat dan memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mapan pada masa depan.

Beliau berkata, kerjasama semua pihak termasuk awam, swasta, rakyat dan profesional diperlukan untuk membangunkan negara.

 

 

Kategori
Ekonomi