BALA PERANG AS-CHINA

87 KUALA LUMPUR 16 Julai – Enam pasaran utama Asia Tenggara termasuk Malaysia akan menjadi ‘mangsa’ kepada perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China sekiranya tidak mampu mena­ngani...

KUALA LUMPUR 16 Julai – Enam pasaran utama Asia Tenggara termasuk Malaysia akan menjadi ‘mangsa’ kepada perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China sekiranya tidak mampu mena­ngani situasi berkenaan di samping beberapa faktor yang akan terus memberi tekanan kepada pasaran.

Menurut laporan Bloomberg, dengan perang perdagangan semakin memuncak, gelombang untuk mengetatkan dasar-dasar global, pengukuhan harga mi­nyak dan keadaan politik di peringkat domestik, antara faktor-faktor yang akan menjejaskan prospek pertumbuhan di rantau ini.

Ketua Ekonomi Bloomberg Economist di Singapura, Tamara Henderson berkata, ketidakpastian pilihan raya di Indonesia dan Thailand termasuk juga persoalan yang masih berlegar-legar mengenai sejauh mana komitmen pengukuhan fiskal kerajaan baharu Malaysia akan menimbulkan kebimbangan kepada para pelabur di rantau ini bagi sepanjang tahun ini.

“Dengan risiko perang dagangan kini menjadi kenyataan, ia pastinya akan menimbulkan ketidaktentuan dalam pasaran eksport. Malah, pelaburan juga yang turut menerima tekanan daripada dasar monetari yang ketat, dilihat akan menjadi mang­sa kepada keadaan ini,” katanya.

Berdasarkan data Bloomberg, Malaysia masih dibelenggu dengan ketidakpastian yang mana kerajaan yang mengambil alih pentadbiran dua bulan lalu, hanya baru bermula memberi gambaran yang jelas mengenai dasar-dasar ekonomi.

Antaranya, struktur cukai jualan baharu yang dirancang akhir tahun ini boleh memperlahankan perbelanjaan pengguna dengan lebih banyak projek infrastruktur ditangguhkan, pelaburan dan prospek perbelanjaan kerajaan juga masih kabur.

Langkah Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) menyebabkan para penganalisis mengurangkan unjuran kenaikan faedah di te­ngah-tengah prospek pertumbuhan dan inflasi yang lemah. Untuk itu, sebarang langkah agresif BNM akan menjadi trend serantau dan global.

Menurut Bloomberg, walaupun penganalisis melihat Singapura akan menikmati pertumbuhan ku­kuh tahun ini, tetapi berdepan dengan separuh kedua yang tidak menentu disebabkan keruntuhan pasaran hartanah baru-baru ini yang kemungkinan boleh mengurangkan sentimen dan memperlahankan perbelanjaan pengguna.

Ekonomi Vietnam yang me­nyaksikan perdagangannya me­rangkumi kira-kira 200 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) amat sensitif terhadap sebarang ketegangan yang boleh mengancam rantaian bekalan global.

Di Filipina pula, penembusan inflasi yang jauh melebihi sasarannya memberi tekanan kepada bank pusatnya sama ada perlu menaikkan kadar faedah ataupun tidak. Kenaikan kali ketiga tahun ini dijangka pada 9 Ogos ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/bala-perang-dagang-as-china-1.710309#ixzz5LV5dsPg3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kategori
Ekonomi