Asas Ekonomi Malaysia Kekal Kukuh – BNM

Ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan yang tinggi atau melebihi enam peratus pada tahun ini

KUALA LUMPUR: Asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dan berdaya tahan dengan pertumbuhan ekonominya diunjurkan berkembang antara 5.5 peratus dan 6.0 peratus pada tahun ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Muhammad Ibrahim.

Pada tahun lepas, ekonomi domestik berkembang dengan kukuh sebanyak 5.9 peratus disokong oleh pertumbuhan global yang meningkat dan permintaan domestik yang teguh.

“Berdasarkan prestasi kukuh yang berterusan, ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan yang tinggi atau melebihi enam peratus pada tahun ini,” katanya kepada editor kanan pada taklimat sempena pengumuman Laporan Tahunan 2017 dan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran 2017 bank pusat itu semalam.

Angka unjuran itu berdasarkan kepada asas global yang lebih baik dan harga minyak mentah yang lebih tinggi dengan harga semerta Brent kepada purata kira-kira US$62 setong pada 2018 dan 2019 berbanding purata US$54 setong pada 2017, katanya.

Bagi 2018, Muhammad berkata permintaan domestik akan terus menjadi pemacu pertumbuhan, disokong oleh aktiviti sektor swasta.

“Pertumbuhan penggunaan swasta dijangka terus mampan, disokong oleh pertumbuhan dalam pekerjaan dan pendapatan yang berterusan, inflasi yang lebih rendah dan sentimen yang lebih baik,” katanya.

Pertumbuhan pendapatan akan disokong oleh prestasi eksport yang kukuh dan pelbagai langkah oleh kerajaan yang berterusan, seperti pemindahan tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia, pengurangan cukai pendapatan individu dan pembayaran khas kepada semua penjawat awam dan pesara.

Sementara itu, pertumbuhan pelaburan swasta juga akan dikekalkan, disokong oleh perbelanjaan modal yang berterusan dan baharu dalam sektor pembuatan serta perkhidmatan, selain diperkukuhkan oleh sentimen perniagaan positif yang berlanjutan.

Perbelanjaan sektor awam dijangka susut disebabkan pengurangan pelaburan awam dalam keadaan pertumbuhan yang lebih sederhana bagi penggunaan awam.

Selain permintaan domestik, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan turut disokong oleh keadaan permintaan luaran yang menggalakkan.

Eksport dan import kasar dijangka berkembang pada aliran melepasi paras purata pada 2018.

Eksport akan dipacu oleh permintaan kukuh daripada rakan dagang utama, pengembangan – berterusan penambahbaikan teknologi global, peningkatan kapasiti produktif domestik dan harga komoditi dunia yang mampan secara meluas.

Mengenai inflasi teras, Muhammad berkata ia diunjurkan sederhana pada 2018, dengan purata antara 2.0 peratus dan 3.0 peratus.

“Inflasi yang rendah berbanding pada 2017 didorong khususnya oleh sumbangan lebih rendah yang dijangka daripada harga tenaga dan komoditi dunia. Kadar tukaran ringgit lebih kukuh berbanding pada 2017 juga akan mengurangkan kos import,” katanya.

Tekanan inflasi daripada faktor permintaan domestik akan dihadkan menerusi peningkatan produktiviti buruh dan pelaburan berterusan bagi penambahan kapasiti.

Bagaimanapun, prospek inflasi, bergantung kepada trajektori harga minyak global, yang masih tidak menentu.

Secara keseluruhan, Gabenor BNM berkata, prospek ekonomi ditandakan dengan beberapa risiko yang membantutkan pertumbuhan.

“Ini termasuk permintaan global yang lebih tinggi daripada jangkaan, yang akan meningkatkan prospek bagi industri berorientasikan eksport. Potensi kenaikan gaji minimum dan peningkatan lebih cepat daripada jangkaan bagi kemudahan pengeluaran baharu dan sedia ada di pelbagai industri juga akan menyokong prospek pertumbuhan yang lebih menggalakkan,” katanya.

Bagaimanapun, menurut bank berkenaan, terdapat beberapa risiko penurunan untuk pertumbuhan yang berterusan.

Pengukuhan eksport Malaysia ke rakan dagang utama boleh dipengaruhi oleh kesan yang tidak menggalakkan daripada perubahan dasar monetari dan pengawalseliaan dalam ekonomi yang lebih maju, perlindungan perdagangan yang meningkat oleh rakan dagang utama dan pertumbuhan sederhana yang lebih cepat daripada jangkaan di China.

Selain itu, kemunculan semula harga komoditi global yang tidak menentu atau pembetulan yang mendadak dalam pasaran kewangan global boleh mempengaruhi sentimen, yang boleh menjejaskan kekukuhan aktiviti ekonomi domestik.

Muhammad turut menyatakan mengenai kebimbangan kemungkinan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang boleh memberi ancaman kepada ekonomi dunia termasuk Malaysia.

“Perang perdagangan tidak akan menguntungkan sesiapa. Ia akan menyebabkan kerugian kepada semua orang. Jika ini berlaku, angka (unjuran KDNK) perlu dilihat semula,” kata Muhammad.

Minggu lepas, Presiden AS Donald Trump telah menandatangani satu memorandum yang boleh mengenakan tarif sehingga US$60 bilion (RM233.7 bilion) ke atas import dari China dan sekatan yang bertujuan menghalang syarikat dan dana yang dikawal China, mengambil alih syarikat AS dan teknologi yang sensitif.

Dalam taklimat itu, Gabenor menyentuh secara ringkas mengenai beberapa isu utama termasuk mata wang kripto, Cukai Barang dan Perkhidmatan, kadar faedah dan keselamatan siber.

Bercakap mengenai mata wang kripto, Muhammad berkata bank pusat telah mengeluarkan draf akhir mengenainya dan di bawah dasar yang dicadangkan, penukaran mata wang digital tertakluk kepada Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Ia bukan pertukaran yang baik antara individu. Tiada perlindungan ke atas pengguna. Lebih tepat jika kita menggelarkannya sebagai token kripto, aset kripto atau ‘kripto di mana anda mahu kehilangan wang anda’,” katanya dengan senyuman, yang kemudian disambut ketawa daripada mereka yang menghadiri taklimat tersebut.

Bagaimanapun, katanya pengharaman mata wang kripto adalah tidak mungkin berikutan ia dapat mengekang inovasi dan kreativiti dalam sektor kewangan, khususnya dalam teknologi kewangan.— BERNAMA

Kategori
Ekonomi