AIRASIA SYARIKAT TAMBANG MURAH TERBAIK DUNIA BUAT KALI KESEPULUH

Fernandes berkata, syarikat penerbangan bajet jarak jauh di bawahnya, AirAsia X diiktiraf sebagai Kabin Premium Syarikat Tambang Rendah Terbaik Dunia untuk tahun keenam berturut-turut.

 

SEPANG 17 Julai – AirAsia Berhad (AirAsia) terus unggul apabila sekali lagi melakar sejarah dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Murah Terbaik Dunia buat kali kesepuluh berturut-turut dalam Anugerah Sky­trax Penerbangan Dunia 2018 yang berlangsung di The Langham, London hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, lebih membanggakan, selain anugerah tersebut, AirAsia turut menerima anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia.

Fernandes berkata, syarikat penerbangan bajet jarak jauh di bawahnya, AirAsia X diiktiraf sebagai Kabin Premium Syarikat Tambang Rendah Terbaik Dunia untuk tahun keenam berturut-turut.

“Anugerah tersebut yang dikenali sebagai Anugerah Oscar bagi industri penerbangan merupakan penanda aras kecemerlangan glo­bal syarikat penerbangan dengan melibatkan tinjauan lebih 20.36 juta pelanggan di lebih 105 negara.

“Selain itu, kejayaan tersebut turut diukur berdasarkan piawai­an merentas 49 petunjuk pres­tasi utama produk dan barisan hadapan khidmat pelanggan bagi syarikat penerbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan secara langsung majlis penyampai­an anugerah tersebut dari London di Tune Hotel di sini hari ini.

Anugerah utama tersebut dite­rima oleh Pengasas Bersama Air­Asia, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun.

Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Perniagaan Penerbangan), Bo Lingam pula masing-masing menerima anugerah bagi Kabin Premium Syarikat Tambang Rendah Terbaik Dunia serta Syarikat Pe­nerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia.

Dalam pada itu, turut mengi­ringi mereka ke London ialah empat wakil AirAsia Allstars yang telah lama berkhidmat di rantau ini iaitu Pemangku Ketua Operasi Lapangan Terbang, Ahmad Ismail; Pembantu Pengurus Kru Kabin, Robert Anthony Gutierrez; Ketua Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Pipat Khunprakan dan Pembantu Pengurus Perkhidmatan Penghantaran Penerbangan, Koji Kaneko.

Sementara itu, Kamarudin dalam ucapannya berkata, beliau sangat berbangga dengan kejayaan tersebut dan berbesar hati untuk meraikan kejayaan sedekad syarikat penerbangan tersebut bersama empat orang Allstars yang telah bersama-sama mereka sejak dari awal.

|

 

Kategori
Ekonomi