Duterte sedia letak jawatan jika Marcos jadi pengganti

59 MANILA: Presiden Rodrigo Duterte akan meletak jawatan jika anak lelaki bekas diktator Filipina, Ferdinand Marcos, berjaya membatalkan kekalahannya pada pemilihan naib presiden pada 2016, kata jurucakap presiden itu....

MANILA: Presiden Rodrigo Duterte akan meletak jawatan jika anak lelaki bekas diktator Filipina, Ferdinand Marcos, berjaya membatalkan kekalahannya pada pemilihan naib presiden pada 2016, kata jurucakap presiden itu.

Penggal Duterte berakhir pada Jun 2022 dan beliau kerap bercakap mengenai peletakan jawatan sebelum ia berakhir.

Pada dua majlis berasingan kelmarin, Duterte menyatakan kesediaan berundur, meluahkan kekecewaan mengenai kegagalan beliau menangani masalah dadah dan rasuah dalam kerajaan.

Bagaimanapun, beliau keberatan berbuat demikian sekarang kerana ia bermakna Duterte perlu menyerahkan kuasa kepada Naib Presiden, Leni Robredo, yang disifatkan tidak layak untuk jawatan itu.

Robredo, yang mengetuai parti pembangkang, bukan pilihan Duterte untuk naib presiden dan dilantik berasingan selepas menang tipis mengatasi Ferdinand Marcos Jr.

Marcos, lebih dikenali sebagai Bongbong, mencabar keputusan itu, mendakwa ia dicemari penipuan. Robredo berkata, beliau menang secara adil.

Mahkamah Agung mengarahkan pengiraan semula, proses sukar yang dilakukan April lalu dan boleh mengambil masa bertahun-tahun.

Jurucakap Duterte, Harry Roque, berkata presiden memang berhasrat untuk meletak jawatan jika pemimpin berkelayakan akan menggantikannya.

Marcos ialah antara yang dimahukan untuk menggantikannya. — Reuters

Kategori
BeritaDunia