Sengat ‘Sabah for Malaysia’ lebih berbisa – Rahman Dahlan

Slogan 'Sabah for Sabahan' hanya mengehadkan kebolehan kita untuk maju ke hadapan, kita tidak mahu jadi sekadar 'jaguh kampung

SEPANGGAR: Sengat slogan ‘Sabah for Malaysia’ dilihat lebih berbisa berbanding slogan ‘Sabah for Sabahan’ yang dilaungkan pembangkang di negeri ini.

Calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Sepanggar Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan, slogan ‘Sabah for Sabahan’ tidak mampu menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri yang mempunyai kuasa politik yang besar di Malaysia.

Sebaliknya, kata beliau, slogan ‘Sabah for Malaysia’ yang dilaungkan BN pula mampu menjadikan kuasa politik Sabah lebih kuat kerana ia bukan hanya memfokuskan politik di negeri ini tetapi merangkumi keseluruhan kuasa politik di seluruh negara.

“Slogan ‘Sabah for Sabahan’ hanya mengehadkan kebolehan kita untuk maju ke hadapan, kita tidak mahu jadi sekadar ‘jaguh kampung’.

“Sementara itu, slogan ‘Sabah for Malaysia’ pula membawa maksud yang kita akan terus mempertahankan hak Sabah dan yang paling penting kita mahu Sabah menjadi sebahagian daripada kuasa politik yang besar dan memainkan kuasa penentu di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media, semasa kempen Pilihan Raya di kediaman calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam Datuk Johnny Goh, hari ini.

Beliau turut menyatakan, slogan ‘Sabah for Sabahan’ yang sering dilaungkan Parti Warisan Sabah (Warisan) adalah slogan yang ditiru daripada parti komponen di Sabah.

Tambah Abdul Rahman, Warisan dilihat tidak mempunyai kemampuan untuk menterjemahkan maksud sebenar slogan itu dalam perjuangan mereka kerana hanya meniru slogan dan mengguna pakai slogan yang bukan dicipta oleh parti itu.

Bagi kerusi Parlimen P. 171 Sepanggar menyaksikan pertembungan empat penjuru yang dibarisi Abdul Rahman ditentang calon Warisan, Datuk Azis Jamman, Robert Sopining daripada Parti Cinta Sabah (PCS) dan Jeffrey Kumin daripada gabungan Sabah.

Kategori
Borneo