SEB Belanja RM1 Bilion Naik Taraf Kestabilan Elektrik Miri, Limbang, Lawas, Marudi

Belanjawan besar tersebut membantu menaik taraf prasarana serta menjalankan kerja pengukuhan demi memastikan kestabilan bekalan elektrik

MIRI: Sarawak Energy Berhad (SEB) mempunyai sekitar 650,000 pelanggan di kawasan barat, tengah, Bintulu dan utara Sarawak.

Daripada jumlah itu, terdapat 88,000 pelanggan di Miri dan lebih 22,000 pelanggan Limbang, Lawas, Marudi dan Ladang Tiga dengan SEB membelanjakan RM1 bilion sejak 2014.

Berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SEB di Pejabat Wilayah Miri, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SEB Sharbini Suhaili berkata, belanjawan besar tersebut membantu menaik taraf prasarana serta menjalankan kerja pengukuhan demi memastikan kestabilan bekalan elektrik di wilayah terbabit.

Menurut beliau, dalam sedekad Miri membangun pesat menjadi bandar raya kedua terbesar di negeri ini dengan populasi semakin meningkat.

Sharbini menambah, dalam tempoh menaik taraf fasiliti tersebut, SEB menghadapi gangguan bekalan tenaga.

Justeru, SEB wilayah utara terus bekerjasama dengan pemegang kepentingan dan media memaklumkan perkembangan terbaharu kerja menaik taraf tersebut.

Pelanggan atau pengguna diminta bersabar dengan gangguan bekalan elektrik yang berlaku semasa kerja naik taraf dijalankan. –Sarawakvoice

Kategori
Borneo