SARAWAK SASAR JADI PENGELUAR NENAS UTAMA DI MALAYSIA MEJELANG TAHUN 2030

kira-kira 150 hektar tanah akan dibangunkan dengan tanaman nanas secara berkelompok di kawasan Beting Maro

KUCHING: Negeri Sarawak kini menyasarkan untuk menjadi pengeluar nanas utama di negara ini menjelang tahun 2030.

Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bagi menjayakan hasrat tersebut, kementeriannya kini sedang menyiapkan Pelan Induk Industri Nanas Negeri Sarawak.

“Setakat ini, terdapat kira-kira 150 hektar tanah akan dibangunkan dengan tanaman nanas secara berkelompok di kawasan Beting Maro.

“Sebanyak 50 hektar dari kawasan tanaman nanas di Beting Maro adalah di bawah IADA Kalaka-Saribas-Betong.

“Manakala100 hektar lagi di kawasan Sungai Lamun telah dibangunkan di bawah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia sejak tahun 2015,”ujarnya dalam ucapan penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri Sarawak, semalam.

Selain itu, Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah melalui Jabatan Pertanian Sarawak juga telah membangunkan satu pelan yang komprehensif untuk mengurus aktiviti pengeluaran padi di Tanjung Purun, Lundu.

Katanya, pelan tersebut adalah untuk memastikan penanaman padi dua musim setahun ditanam di seluruh kawasan dan dijangka bermula pada musim penanaman padi yang akan datang.

“Satu “model pengurusan’ yang merangkumi semua aktiviti sepanjang rantaian nilai termasuk penyelenggaraan infrastruktur, penggunaan tanah terbiar, bekalan benih bermutu, pengurusan air, pengurusan tanaman serta mekanisasi ladang dan lepas tuai akan diguna pakai,”jelasnya lagi. –Sarawakvoice

Kategori
Borneo