ROYALTI MINYAK: CHONG DENGAR SUARA RAKYAT SARAWAK ATAU SUARA PH DI PUTRAJAYA?

Oleh : Dr Awang Azman Awang Pawi

Taktik pengumuman 20 peratus royalti kepada negeri pengeluar minyak tidak dapat disalurkan segera kerana menunggu Akta Pembangunan Petroleum 1974 dipinda dianggap sebagai taktik politik untuk  tawar menawar di antara negeri pengeluar minyak dengan Putrajaya.

Kenyataan diperkukuhkan lagi  apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) bercadang menambahkan pemberian royalti minyak daripada 5 peratus kepada 20 peratus.

Namun  pemberian tersebut dibuat berdasarkan pengiraan keuntungan bersih Petronas dan  bukannya jumlah hasil pengeluaran kasar.

Hal ini menyebabkan reaksi  tidak puas hati dalam kalangan rakyat Sarawak khususnya dan kerajaan negeri-negeri yang terlibat. Setakat ini kerajaan negeri Terengganu turut meluahkan rasa tidak puas hati.

Namun menurut Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, tindakan ini perlu dilakukan kerana sekiranya diberikan royalti berdasarkan hasil pengeluarkan kasar maka ia akan bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Foto: Bernama

Sekiranya hendak ditambah royalti kepada 20 peratus maka perlu dipinda Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan ini akan mengambil masa.

Lanjutan daripada ini, Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet bagi menyemak semula Perjanjian Malaysia 1963 secara adil.

Kebimbangan di pihak kerajaan pusat ialah akan berlaku  implikasi tanggungan kewangan yang membebankan Petronas dan kerajaan persekutuan sendiri sekiranya  royalti dinaikkan berdasarkan pengeluaran minyak dan gas.

Kenyataan Azmin ini mendapat reaksi khususnya kerajaan negeri Sarawak yang tidak bersetuju  nilai pembayaran royalti minyak dibayar kepada negeri ini berdasarkan 20 peratus daripada keuntungan bersih hasil petroleum negara.

Kerajaan Negeri Sarawak menuntut agar pembayaran royalti perlu mengikut perjanjian yang dimeterai berasaskan pengeluaran minyak dan gas.

Tunturan pembayaran royalti agar dinaikkan kepada 20 peratus apabila kerajaan Persekutuan  terdahulu hanya memperuntukkan pembayaran 5 peratus royalti minyak kepada Sarawak .

Sikap PH Sarawak

Sewajarnya kepemimpinan tertinggi PH Sarawak perlu menyatakan pendirian 20 peratus berdasarkan pengiraan keuntungan bersih Petronas dan  bukannya jumlah hasil pengeluaran kasar.

Sebelum ini pengerusi Pakatan Harapan Sarawak, Chong Chieng Jen, misalnya  antara penyokong kenaikan royalti 20 peratus daripada hasil pengeluaran minyak dan gas yang telah dimulakan  oleh Pehin Sri Adenan Satem dan ini disokong oleh majoriti rakyat Sarawak tanpa mengira etnik dan agama.

Dalam manifesto PH juga  ada menjanjikan untuk memberikan royalti  20% berasaskan hasil pengeluaran dan mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis.

Hal ini seolah-olah manifesto PH dimungkiri. Kelewatan Pengerusi PH sendiri memberikan pendirian dalam isu terbaru akan membawa implikasi krisis kepercayaan pengundi Pakatan Harapan.

Ini juga menguji kesetiaan Chong sama ada lebih mendengar suara akar umbi rakyat Sarawak atau mengikut telunjuk kepemimpinan tinggi Pakatan Harapan di Putrajaya.

Setakat ini hanya seorang Ahli Parlimen PKR secara terbuka membantah  idea pembayaran royalti minyak ini. Bagi Willie Mongin wakil rakyat PKR  Puncak Borneo kiraan yang adil ialah berdasarkan pengeluaran.

Ternyata, tindakan Putrajaya itu bercanggah sendiri dengan  manifesto Pakatan Harapan. Secara sinis beliau memberitahu bahawa rakyat Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu bukannya hendak bulan dan bintang, tetapi sekadar hak mereka sebagai  negeri pengeluar.

Gabungan negeri atau politik?

Sudah tiba negeri-negeri yang terlibat, iaitu Sarawak, Sabah, Terengganu dan Kelantan bersatu hati untuk kepentingan rakyat dan negeri mereka.

Pertemuan tidak rasmi  Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri dengan Ketua Menteri Sarawak  Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ialah langkah awal ke arah tersebut. Hal ini penting untuk dibincangkan dan membuat kerjasama strategik kerana ini akan memberikan impak kepada negeri Sarawak apbila jumlah royalti diterima akan berkurangan.

Setakat ini, Ketua Menteri Sarawak dan Menteri Besar Terengganu sama-sama berpendirian bahawa pembayaran royalti perlu mengikut perjanjian yang dimeterai berasaskan pengeluaran minyak dan gas, bukannya daripada keuntungan bersih.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pula melahirkan ketidaksenangannya terhadap kerajaan pusat yang membuat keputusan tersebut tanpa berunding terlebih dahulu daripada negeri pengeluar termasuk Sabah.

Persetujuan bersama penting sebagai tanda menghormati Akta Pembangunan Petroleum 1974. Justeru, Petronas perlu lebih telus dengan cara laporan tahunan perlu dibentangkan di parlimen agar diketahui umum urus tadbir korporat Petronas.

Kerajaan Pas Kelantan pula tetap berpendirian bahawa kerajaan pusat perlu membayar lima peratus tuntutan royalti minyak berdasarkan hasil pengeluaran dan bukannya keuntungan negeri sebagaimana perjanjian dengan Petronas.

Kuasa King Maker Pudar?

Sarawak kelihatan sudah mulai hilang kuasa sebagai negeri yang dianggap  deposit tetap BN atau boleh menjadi king maker dalam percaturan politik semasa. Hal ini kerana tanpa sokongan BN atau kini Gabungan Parti Sarawak (GPS), Putrajaya tetap mampu diambil alih oleh Pakatan Harapan.

Justeru, GPS perlu mengadakan pakatan politik  bukan sahaja dengan negeri yang terlibat isu royalti minyak, akan tetapi mempertimbangkan pakatan semula dengan UMNO.

Hal ini kerana Sarawak perlu suara yang kuat untuk menyokong perjuangannya.  Bersendirian dalam politik tanpa bersekutu akan menjadikan lebih terpinggir, tidak didengari suara, malah tidak dilayan oleh pentadbiran Putrajaya.

Sekiranya GPS, bersama-sama PAS Kelantan dan Terengganu dan UMNO, malah Warisan di Sabah bersatu hati terutama dalam memperjuangkan isu royalti minyak ini, maka barulah  politik tawar-menawar akan lebih ampuh dan suara GPS lebih digeruni oleh Putrajaya di bawah Pakatan Harapan.

Pada masa yang sama, konsep federalisme perlu dilihat untuk pembangunan sama rata dan berasaskan kepentingan bersama.  Perjanjian Malaysia 1963, isu Perkara 18 dan 20 Sabah dan Sarawak pula perlu dihormati termasuk dalam isu royalti minyak dan gas.

Selagi jurang negeri pengeluar minyak ini yang dilihat masih ketinggalan dan jurang pendapatan masih tinggi, selagi itulah ketidakpuasan oleh rakyat negeri tersebut.

Maka, pihak Pakatan Harapan di Putrajaya harus ada perbincangan dan perundingan di antara negeri terlibat selain kompromi, timbal balas dan tawar menawar politik yang sama-sama menguntungkan kedua-dua pihak dalam isu bayaran balik royalti minyak. Selagi isu ini tidak dijadikan asas penyelesaian, maka isu ini berlarutan dan sukar menemui titik penyelesaian.–Sarawakvoice

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.

Kategori
Borneo