RM50 juta Naik Taraf Jalan, Jambatan Sg Bintangor Rancakkan Tebingan Kuching — Abg Johari

Jambatan berkenaan menghala masjid terapung di Esplanade

KUCHING: Merancakkan pembangunan sekitar tebingan di Kuching, kerajaan negeri memperuntukkan RM50 juta bagi tujuan menaik taraf jalan raya serta Jambatan Sungai Bintangor bermula tahun depan.

Bercakap selepas “walkabout” di Kampung Bintangor dan merasmikan Jambatan Muara Tebingan Sungai Bintangor, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata kerajaan negeri turut mengeluarkan peruntukan memperbesar Jalan Datuk Ajibal Abol.

Projek berkenaan bermula dari persimpangan Masjid Bandar Kuching dan Hotel Arif sehingga ke Jalan Haji Mataim.

Abang Johari menyifatkan projek pembangunan menaik taraf kampung Melayu ini mampu memberi peluang pelancong menikmati keindahan bandar raya Kuching.

Dalam projek di Bintangor, jambatan berkenaan menghala masjid terapung di Esplanade, di Tebingan Kuching di pusat bandar selain berdirinya monumen jam elektronik.

Berkaitan projek Jambatan Muara Tebingan Sungai Bintangor bernilai RM870,000 yang siap Mei 2017, Abang Johari berkata ramai pelancong menyewa basikal melawat kawasan tersebut dan menganggapnya sebagai program yang berjaya. –Sarawakvoice

Kategori
Borneo