POLITIK STABIL BANTU PERNIAGAAN BERKEMBANG — AMEER MYDIN

Mydin Sarawak akan menjual barangannya pada harga yang sama seperti Semenanjung kerana Mydin akan menanggung kos lojistik

KUCHING: Kita perlukan suasana politik yang stabil untuk membolehkan aktiviti perniagaan berkembang, kata Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Wira Ameer Ali Mydin.

Katanya, politik yang stabil dan berkesinambungan akan menanam keyakinan kepada pelabur.

“Saya mengharungi situasi ini sudah lama, termasuk ketika kegawatan ekonomi,” katanya pada sidang media selepas perasmian Mydin Petra Jaya semalam.

Majlis perasmian hyper market ke-77 Mydin dan ketiga di Sarawak itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Dengan pengalaman mengendalikan perniagaan bernilai RM3 bilion setahun, beliau yakin kerajaan perlu mendengar suara rakyat dalam mengubah suai dan meminda dasar-dasarnya.

“Ia harus membantu memakmurkan negeri dan negara.

“Kuching misalnya terkenal kerana pihak berkuasanya amat membantu,” jelasnya lagi.

Beliau turut memberi jaminan Mydin Sarawak akan menjual barangannya pada harga yang sama seperti Semenanjung kerana pihaknya akan menanggung kos lojistik.

Pasar Raya Mydin merupakan pasar borong dan runcit ketiga terbesar di Malaysia.

Outlet ini yang ketiga di negeri ini selepas pembukaan Pasar Raya Mydin Samariang dan Cityone yang dibuka pada 26 Ogos 2016 dan 30 Mac 2017 yang lalu.

Kategori
Borneo