Polis Sedia Tangkap Individu Ancam Bunuh, Bom Staf Veterinar Bertugas Basmi Rabies

Tindakan hanya dapat diambil sekiranya ancaman yang dikeluarkan bersifat jenayah

KUCHING: Polis sedia menyiasat dan menjalankan tugas melindungi staf veterinar yang didakwa diancam oleh individu di media sosial semasa menjalankan tugas membasmi tularan rabies di negeri ini.

Polis sedang menyiasat ancaman diterima dalam kes ini dan sedia menangkap individu terbabit sebaik sahaja mereka dikenal pasti.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Datuk Dev Kumar, polis menerima laporan di Miri dan Kota Samarahan berkaitan ancaman terhadap staf yang menjalankan operasi antirabies.

Sebelum ini, Dev mengaku polis menangkap dua pengguna media sosial di Padawan pada 7 Januari lalu kerana mengancam staf veterinar.

Dev dalam kenyataanya mengingatkan bahawa tindakan hanya dapat diambil sekiranya ancaman yang dikeluarkan bersifat jenayah.

Dev turut menolak tuduhan terhadap polis yang disiarkan di akhbar bahawa polis tidak melindungi staf veterinar semasa mereka menjalankan operasi antirabies.

Laporan media menyebut Presiden Persatuan Veterinar Sarawak (SVA) Dr Chuo Hock Tieng kecewa kerana ketiadaan perlindungan polis semasa operasi antirabies berjalan, selain tiada tindakan diambil berhubung laporan polis yang dibuat oleh petugas yang menerima ancaman bunuh dan bom.

Dev sebaliknya berkata, polis sedia mengadakan perlindungan keselamatan terhadap staf terlibat semasa operasi antirabies diadakan asalkan mereka mengemukakan permintaan kepada Ketua Polis Daerah (KPD).

Dalam hal ini polis perlu dimaklumkan lebih awal berkaitan operasi antirabies yang hendak dijalankan.

Dev menjemput SVA mengadakan dialog bersama KPD membincangkan isu ini secara baik. –Sarawakvoice

Kategori
Borneo