PH Sarawak tolak pindaan RUU Kanun Tanah

Timbalan Pengerusi PH Sarawak Baru Bian berkata rang undang-undang itu tidak mengiktiraf dan memperakui ciri-ciri asasi 'pemakai menoa' dan 'pulau galau' seperti yang diperakukan dalam kes penting oleh bidang kuasa lain.
KUCHING: Pakatan Harapan (PH) Sarawak hari ini menyatakan pendirian menolak Rang Undang-Undang Kanun Tanah (Pindaan) 2018 (LCAB) yang dijadual dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Sarawak, esok.

Rang undang-undang itu sangat penting dalam usaha kerajaan negeri untuk meminda Kanun Tanah negeri ini sebagai suatu cara untuk menyelesaikan isu ‘Pemakai Menua’ (rizab hutan komunal) dan ‘Pulau Galau’ (domain wilayah), khususnya berkaitan definisinya yang dikatakan berbeza dalam kalangan komuniti Bumiputera di negeri ini.

Timbalan Pengerusi PH Sarawak Baru Bian berkata rang undang-undang itu tidak mengiktiraf dan memperakui ciri-ciri asasi ‘pemakai menoa’ dan ‘pulau galau’ seperti yang diperakukan dalam kes penting oleh bidang kuasa lain.

Katanya, LCAB dengan jelas memperuntukkan pengiktirafan hanya bagi ‘hak usufruktuari’, yang ditakrifkan sebagai ‘hak atau hak istimewa yang diamalkan atau dinikmati masyarakat pribumi terhadap sesuatu domain wilayah pribumi untuk mencari rezeki, termasuk menangkap ikan dan berburu.

“…hak orang asal ini termasuklah kepentingan terhadap tanah, dan bukan semata-mata merupakan suatu hak usufruktuari, yang bermaksud hanya hak terhadap tanah berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

“Kedua, setakat keluasan yang dibenarkan diberi kepada masyarakat pribumi di bawah konsep ini hanya terhad kepada 500 hektar. Pendirian kami ialah tanah NCR, atau Pemakai Menoa dan Pulau Galau, tidak boleh disekat atau dihadkan kepada sesuatu kawasan yang diberi takrifan oleh pihak berkuasa sahaja,” katanya.

Baru, yang juga Menteri Kerja Raya, berkata keluasan domain wilayah berkenaan perlulah sama dengan keluasan kawasan yang didiami masyarakat pribumi secara berterusan sejak zaman nenek moyang mereka dahulu, hinggalah masa kini.

Menurut Baru, LCAB itu juga memperuntukkan bahawa permohonan pengiktirafan terhadap domain wilayah itu perlu dibuat melalui Penguasa Tanah dan Ukur serta perlu mendapat kelulusan daripada pengarah Jabatan Tanah dan Ukur.

“Pendirian kami ialah penentuan tentang adat masyarakat pribumi Sarawak tidak boleh diputuskan supaya turut merujuk kepada mereka yang bukan pribumi atau seseorang yang tidak mempunyai pengetahuan tentang “adat” berkenaan. Dalam hubungan ini, cadangan kami agar Suruhanjaya Tanah Pribumi, yang dianggotai pakar dalam bidang adat resam masyarakat pribumi untuk menangani isu ini, wajarlah dilaksanakan,” katanya.

“Kami maklum tentang sisi positif daripada cadangan pindaan itu daripada aspek keberkekalan hak milik yang dikeluarkan untuk sesuatu domain wilayah, tetapi ini sahaja tidak boleh mewajarkan wujudnya sesuatu yang tidak munasabah tentang aspek utama pindaaan itu seperti yang disebut tadi,” katanya.

Baru berkata PH Sarawak mendapati satu sidang akhbar perlu diadakan hari ini dan beliau serta pengerusi PH Sarawak Chong Chieng Jen, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, tidak dapat menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri esok kerana berada di Putrajaya untuk menghadiri mesyuarat Kabinet.

— BERNAMA

Kategori
Borneo