Pembangunan Berterusan Bila Sibu Dan Lanang Kembali Ke Pangkuan Barisan Nasional

Demi kesinambungan pembangunan di Sibu dan manfaat generasi muda di sini, kerusi Parlimen Sibu dan Lanang harus bersama BN

SIBU: Demi pembangunan berterusan di Sibu dan manfaat penduduk terutama generasi muda, kerusi Parlimen Sibu dan Lanang harus berjaya ditebus semula oleh Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg,penduduk Sibu harus berfikir secara rasional kerana keputusan mereka akan menentukan masa depan Sibu.

“Demi kesinambungan pembangunan di Sibu dan manfaat generasi muda di sini, kerusi Parlimen Sibu dan Lanang harus bersama BN.

“Sokongan itu penting bagi memudahkan wakil rakyat BN menyuarakan masalah dan permintaan rakyat kepada kerajaan persekutuan,” katanya di sini semalam.

Beliau percaya jika semua parti komponen BN Sarawak bergabung tenaga menghadapi PRU14, sasaran BN memenangi semula Parlimen Sibu dan Lanang lebih mudah.

“Apatah lagi SUPP kini dilihat sudah pulih daripada krisis dalaman yang dialaminya,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan agar SUPP serta parti komponen BN Sarawak yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) perlu berusaha keras untuk memenangi semula kedua-dua kerusi Parlimen berkenaan.

Abang Johari berkata, dengan mencapai kemenangan tersebut, beliau setuju memperhebat pembangunan Sibu seperti di bahagian lain Ini termasuk membangun semula Bukit Assek, pembesaran Poliklinik Oya, parkir kereta Hospital Sibu.

Selain itu, sistem lalu lintas akan dinaik taraf, mendirikan sekolah teknologi, menjadikan Sibu sebagai hab komersil serta menggalakkan sektor pelancongan Batang Rajang.

Rancangan ini mudah direalisasikan sekiranya BN diterima baik dan mendapat sokongan padu rakyat Sibu.

Kategori
Borneo