Parti Politik Luar Tidak Boleh Jamin Masa Depan Sarawak

Tiada parti politik dari luar Sarawak termasuk UMNO boleh menentukan masa depan negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

SIBU: Tiada parti politik dari luar Sarawak termasuk UMNO boleh menentukan masa depan negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari berkata hanya parti yang berpangkalan di negeri ini diketuai rakyat Sarawak sendiri, boleh memutuskan dan menetapkan hala tuju masa depan negeri ini.

“Kita mesti bersatu. Hanya pemimpin Sarawak boleh menentukan masa depan Sarawak. Hanya rakyat Sarawak, dan bukan orang luar,” katanya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Cina Bersatu (UCA) Sibu di sini malam tadi.

Parti pembangkang seperti DAP, PKR, katanya tidak relevan di negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata rakyat Sarawak harus bersedia menghadapi Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0) dan era digital untuk mencapai matlamat menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang 2030.

Ketua Menteri juga menyentuh mengenai penubuhan Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) untuk mengawasi pembangunan Bahagian Kapit dan sebahagian Kanowit serta Bintulu.

Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Pengerusi Barisan Nasional negeri berkata kerajaan negeri akan meneruskan usaha untuk menuntut hak negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) daripada kerajaan persekutuan.

Namun beliau berkata usaha itu akan dilaksanakan berdasarkan undang-undang dan perlembagaan negara dan bukannya bersandarkan emosi semata-mata atau kepentingan peribadi.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberikan respons positif berhubung perkara itu pada konvensyen PBB minggu lalu dengan mengumumkan penubuhan jawatankuasa peringkat tinggi di peringkat persekutuan bagi rundingan MA63 dengan kerajaan negeri.– BERNAMA

Kategori
Borneo